Berita

Caj RM1 guna ATM MEPS dikecualikan sepanjang PKP

CAJ RM1 yang dikenakan bagi penggunaan ATM MEPS dikecualikan dalam tempoh PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 3 April 2020 8:01 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan pengecualian caj RM1 kepada mana-mana pengeluaran wang tunai menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEPS).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian itu dilakukan selama sembilan hari bermula 6 April ini dalam tempoh fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Difahamkan ramai pengguna masih menggunakan juruwang di dalam bank kerana isu mesin ATM yang mengenakan caj RM1 setiap kali pengeluaran wang (menggunakan MEPS).

“Oleh itu, kerajaan memutuskan semua institusi perbankan akan mengecualikan caj RM1 yang menggunakan rangkaian MEPS,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Jelas beliau, langkah itu memberikan ruang dan kemudahan kepada rakyat supaya menggunakan mesin ATM yang telah disediakan untuk mereka.

“Justeru, mereka tidak perlu berpusu-pusu di dalam bank dan di mesin ATM.

“Penjarakan sosial sejauh satu meter mesti terus dipatuhi,” tegasnya.

Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai mengamalkan penggunaan sistem perbankan atas talian untuk pengurusan kewangan harian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas