Berita

Boleh bergerak lebih radius 10km atas budi bicara polis

ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan raya bagi menguatkuasakan PKP.
- Diterbit 3 April 2020 7:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai kini boleh bergerak melebihi jarak 10 kilometer (km) dari kediaman mereka namun mengikut kuasa budi bicara Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan terdapat kelonggaran bergantung kepada situasi, negeri bersempadan dan kesihatan.

“Contohnya, membenarkan beli produk makanan yang tidak ada dalam lingkungan 10km. Sudah tentu boleh beli makanan di luar radius 10km atau terhampir.

“Selain itu, negeri bersempadan Petaling Jaya di Selangor dan Bangsar di Kuala Lumpur. Keperluan itu ada di luar (lebih 10km dari kediaman mereka), walaupun ada perjalanan antara negeri namun kerajaan memberikan kuasa kepada budi bicara kepada polis.

“Ini berikutan, pihaknya mendengar ada individu ingin keluar bagi tujuan perubatan tetapi hospital tersebut melebihi 10km, jadi mereka batalkan hasrat itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas beliau, kesihatan merupakan perkara utama sehingga kerajaan terpaksa memperkenalkan PKP.

Sebelum ini, orang ramai hanya dihadkan pergerakan dalam lingkungan 10km dari kediaman masing-masing berkuat kuasa 1 April lalu.

Perkara itu dinyatakan di dalam
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas