Berita

Tak akan biar pekerja asing kelaparan, kerajaan sedia selaraskan bantuan dengan kedutaan

RAKYAT asing turut dikenakan saringan kesihatan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 3 April 2020 8:29 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua kedutaan asing bertanggungjawab terhadap rakyat mereka yang terjejas akibat Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan sentiasa membantu dalam pengurusan pembelian makanan bagi memudahkan penyaluran bekalan kepada warga asing terlibat.

Bagaimanapun, ujarnya, mereka perlu melapor kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sekiranya terdapat warga-warga asing itu.

“Isu berkaitan warga asing perlu diambil tanggungjawab oleh kedutaan masing-masing dan kita akan membantu dalam menyelaraskan apa yang mereka perlu lakukan.

“Kerajaan kita adalah kerajaan bertanggungjawab, sesiapa sahaja dalam negara akan dibantu. Kita tidak akan benarkan rakyat Malaysia atau rakyat asing kelaparan sewaktu PKP dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, terdapat laporan menyatakan pekerja Bangladesh di negara ini kelaparan susulan pelaksanaan PKP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas