Fokus

Cabaran bina Residensi Wilayah

KEMUDAHAN keselamatan disediakan di setiap Residensi Wilayah.
- Diterbit 15 November 2019 12:40 AM MYT

PERUMAHAN merupakan satu perkara yang penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Melalui pembukaan kawasan-kawasan perumahan baharu, pertumbuhan negara dapat dipertingkatkan selain meningkatkan ekonomi di sesebuah kawasan dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Walaupun kerajaan berhadapan jumlah tanah yang terhad bagi tujuan pembinaan perumahan untuk rakyat, ia bukan alasan untuk mengambil sikap ‘lepas tangan’.

Kewujudan Residensi Wilayah (RW) yang sebelum ini dikenali sebagai RUMAWIP telah memberikan harapan kepada warga kota untuk memiliki kediaman mampu milik di kawasan bandar.

Menurut Setiausaha Bahagian Sosio Ekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain, kepesatan pembangunan Kuala Lumpur menjadi cabaran kepada pihak kementerian untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada warga bandar raya ini.

“Tidak dinafikan pembangunan Kuala Lumpur rancak dan ketika ini kerajaan turut menumpukan pembangunan perumahan rakyat di kawasan
bandar raya.

“Oleh itu kerajaan sedang membina jaringan pengangkutan awam yang cekap agar rancangan mencapai status bandar raya rendah karbon terlaksana dengan pembangunan kawasan perumahan rakyat di dalam kawasan bandar,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Kata Muhammad Azmi, sasaran yang ditetapkan oleh pihak Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2018 adalah menyediakan sebanyak satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

“Melalui sasaran itu, pihak KWP meletakkan misi untuk membina kira-kira
80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

“Unjuran ini amat realistik dengan usaha digerakkan KWP dan kami optimis untuk memenuhi sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Muhammad Azmi, setiap projek yang telah mendapat kelulusan
perintah pembangunan (DO), pemaju akan mendapat kelulusan Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) yang dikeluarkan oleh KPKT bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran.

“Setelah mendapat APDL, barulah projek tersebut diiklankan di portal RW sebagai pilihan kepada bakal pemilik rumah yang berdaftar di protal tersebut.

Tambah Muhammad Azmi, sehingga kini, jumlah projek RW yang telah siap
dan dalam proses jualan adalah sebanyak 24 buah.

Katanya lagi, kesemua unit RW dinaikkan keluasannya kepada 900 kaki persegi dengan harga yang ditawarkan RM300,000 seunit.

SUASANA di dalam rumah yang bersaiz 900 kaki persegi.

“Selain itu, kemudahan yang turut disediakan terdiri daripada kolam renang, surau, bilik gimnasium, dewan serbaguna, taska, taman permainan dan pejabat pengurusan,” katanya.

Ujar Muhammad Azmi, sehingga Oktober lalu, lebih 250,000 pembeli berpotensi telah mendaftar dalam portal Residensi Wilayah di https://
residensiwilayah.kwp.gov.my.

Menurut beliau, sehingga 23 Oktober lalu, terdapat 59 projek melibatkan 39,396 unit RW telah didaftarkan dalam Portal Residensi Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 40 projek telah ditutup manakala 19 projek lagi masih dibuka untuk pendaftaran dan jualan,” katanya.

KAWALAN keselamatan disediakan di setiap Residensi Wilayah.

Kata beliau, setakat ini sebanyak 40 projek melibatkan 32,647 unit atau 83 peratus daripada 39,396 unit yang didaftarkan dalam portal RW telah
habis dijual.

“Sebuah projek yang telah siap yang masih belum terjual 100 peratus adalah Projek Perumahan Taman Mutiara di Labuan.

“Sebanyak 18 projek atau 50 peratus daripada 36 projek yang dalam peringkat pembinaan telah dijual 100 peratus dengan bilangan unit sebanyak 11,098.

“Baki 19 projek yang masih belum habis dijual melibatkan 6,749 atau 17
peratus daripada keseluruhan unit yang dijual, masih tidak dapat dijual,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas