Personaliti

Gesekan memukau violin Salmira Idris

SALMIRA berbakat dalam instrumen violin.
- Diterbit 15 November 2019 7:08 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

BER­MULA hanya suka-suka dalam bidang nyanyian dan seni muzik, dalam diam-diam bakat yang terpamer pada diri Salmira Idris, 38, berjaya dihidu ibu saudaranya.

Atas dorongan ibu saudaranya itu akhirnya wanita jelita ini mula melakarkan perjalanan bakatnya dengan mengikuti kelas muzik dan memilih violin sebagai instrumen yang diminati.

Kini wanita yang manis dengan tahi lalat di bawah bibirnya ini me­rupakan antara pemain violin dan ahli muzik Orkestra Kuala Lumpur di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya memang gemar menyanyi tetapi hanya sekadar suka-suka. Namun ibu saudara saya yakin dengan dengan bakat itu, saya dapat pergi jauh dalam bidang muzik.

“Dialah yang banyak berikan dorongkan sehingga saya menyertai kelas muzik untuk kembangkan bakat itu,’’ kata­nya kepada Wilayahku ­baru-baru ini.

Salmira yang merupakan anak keempat dari lima adik beradik ber­kata, dia memilih violin setelah melihat kemahiran yang dimilik ibu saudaranya yang juga ‘handal’ bermain alat muzik tersebut.

“Untuk itu saya menyertai kelas bermain violin dengan seorang ahli muzik selama beberapa tahun dan mendalami selok-belok kemahiran bermain dengan instrumen itu.

“Selain itu, saya juga mampu bermain piano dan boleh mengajar namun hanya secara asas,’’ katanya.

Salmira yang telah berkhidmat sebagai ahli muzik DBKL selama 16 tahun pernah mengikuti persembahan di Istana Budaya dan antara pencapai­an tertinggi di dalam bidang itu ialah tampil pada persembahan bersama Orkestra Kuala Lumpur di Malaysian Philharmonic Orchestra.

“Kita semua maklum Malaysian Philharmonic Orchestra merupakan sebuah tempat yang berprestij di negara ini dan pengalaman tersebut menjadi kenangan istimewa buat saya,’’ ceritanya.

Memikirkan kemahiran yang ada dalam dirinya turut perlu dikongsi bersama generasi baharu, Salmira tidak lokek mencurahkan ilmunya kepada anak muda yang ingin mendalami seni muzik termasuk violin apabila pernah mengajar muzik di Menuetto Music Centre, Dataran Jelatek, Ampang se­lama kira-kira lima tahun.

“Minat untuk mengajar muzik masih lagi ada namun ketika ini saya perlu menumpukan kepada tugasan di DBKL terlebih dahulu.

“Saya juga ada membuka kelas peribadi untuk mengajar muzik namun sekiranya diizinkan, saya merancang untuk menubuhkan pusat muzik sen­diri,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas