Berita

Bunuh diri : Individu alami pelbagai masalah perlu diberi khidmat nasihat – Bukit Aman

SECARA purata, sebanyak dua kes dicatatkan setiap hari sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 1 Julai 2021 8:59 AM MYT

INDIVIDU yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan lain-lain perlu diberikan bantuan khidmat nasihat, selain sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata hasil siasatan JSJ mendapati tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri adalah kerana tekanan perasaan, masalah keluarga dan faktor kewangan.

“Sebanyak 468 kes bunuh diri dicatatkan bermula Januari hingga Mei tahun ini di seluruh negara dan 609 kes serta 631 kes masing-masing pada tahun 2019 dan 2020.

“Sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021, pecahan mengikut jantina adalah seramai 281 lelaki dan 1,427 wanita dilaporkan membunuh diri. Kebanyakan mangsa berusia 15 hingga 18 tahun dengan jumlah 872 orang manakala mangsa berumur 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata secara purata, sebanyak dua kes dicatatkan setiap hari sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021.

Beliau berkata Johor mencatatkan kes tertinggi pada tahun 2019 dan 2020 iaitu sebanyak 101 kes manakala bagi tahun ini sehingga Mei pula, Selangor telah mencatatkan kes tertinggi dengan 117 kes.

Abd Jalil berkata berdasarkan trend kejadian bunuh diri yang berlaku, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung isu ini. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas