Berita

Siap siaga hadapi bencana di Putrajaya

ANGGOTA bomba mendukung seorang mangsa yang cedera untuk diberi rawatan lanjut.
- Diterbit 19 Disember 2019 6:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Kira-kira 300 anggota keselamatan telah menyertai program D’MEX atau nama singkatannya ‘Disaster management Exercise’ 2019 baru-baru ini.

D’MEX merupakan latih amal operasi kebombaan dan penyelamatan negeri bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya dan dibantu oleh agensi-agensi keselamatan dan kecemasan di Putrajaya dalam menghadapi sebarang bentuk insiden.

Menurut Pengarah JBPM Putrajaya, Penguasa Kanan Bomba, Md. Hilman Abd. Rashid berkata situasi pada malam ini adalah berlaku letupan dan kebakaran dalam terowong yang melibatkan 10 orang mangsa.

“Pihak bomba telah bergabung dengan semua agensi seperti pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Hospital Putrajaya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbadanan Putrajaya (PPj), dan Syarikat Sapura Research Sdn. Bhd. untuk mengendalikan latihan tersebut.

“Latihan ini merupakan kali pertama dilaksanakan sejak dari pembukaan Putrajaya dan situasi ini amat kritikal untuk anggota penyelamat yang berada di dalam situasi menyelamat kerana kawasan kecemasan tersebut berlaku di dalam terowong.

ANTARA senario yang dilakukan semasa DMEX.

“Dan sudah pasti kita memerlukan satu tindakan pantas semasa di dalam keadaan darurat yang khusus untuk mengendalikan mangsa-mangsa yang terperangkap di dalam terowong tersebut.” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Md. Hilman, jarak di dalam terowong tersebut adalah 10.8 km dan lebar kira-kira 20 meter dan jarang diantara lorong masuk adalah kira-kira 500 meter.

Kata Md. Hilman, situasi kecemasan adalah sekumpulan pekerja sedang membuat kerja-kerja pembaikan dan cabelling di dalam terowong penyimpanan dan pembekalan utiliti baru sehingga sampai di ‘Compartment LK10-C09.’

Sebaik sahaja melalui terowong dan tiba di lokasi ‘drainage pump’ kira-kira 400 meter, pam tersebut mengalami kebocoran lalu mengakibatkan letupan sehingga mencederakan 10 orang pekerja.

Akibat letupan itu juga, terowong yang menempatkan kabel-kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) telah terbakar.

Menurut Md. Himan, pihaknya telah merancang latihan tersebut sejak dari bulan Jun 2019 dan rancangan asal adalah untuk membuat kecemasan dan penyelamat di air.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas