Berita

Brunei, Malaysia kukuh pertahanan

MOHAMAD (empat dari kiri) mengiringi Awang Halbi (dua dari kanan) dalam lawatan kerja ke Tawau, Sabah selama tiga hari bermula semalam.
- Diterbit 3 Februari 2020 9:24 AM MYT

PUTRAJAYA – Menteri Pertahanan Kedua Brunei Darussalam, Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Md. Yussof mengadakan lawatan kerja ke Tawau, Sabah dengan diiringi Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu, bermula esok hingga 4 Februari ini.

Turut serta dalam lawatan kerja tersebut adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Aminan Mahmud; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia, Ahmad Nadzri Mohd. Hassan dan Panglima Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, program lawatan tersebut melibatkan kunjungan ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) yang dilakukan hari ini.

“Seterusnya, kesemua terlibat dibawa ke penempatan operasi ATM di kawasan perairan Pantai Timur Sabah iaitu Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (TSR) dan Pulau Pandanan selain turut membuat tinjauan dari udara menggunakan helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke kawasan operasi di Pulau Mataking, Pulau Matabuan dan Pulau Sibuan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menyatakan, Malaysia dan Brunei mempunyai jalinan hubungan dua hala sejak sekian lama dan lawatan kerja berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk memperhalusi hubungan strategik.

Jelas kenyataan itu, hubungan dua hala pertahanan antara Malaysia dan Brunei dibentuk secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertahanan yang ditandatangani pada 14 Februari 1992.

“Hubungan pertahanan kedua-dua terus berkembang di peringkat strategik, operasi serta taktikal melalui pelaksanaan operasi dan latihan serta program pertukaran pegawai dan anggota melibatkan angkatan tentera kedua-dua negara.

“Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut menyertai Malaysian Battalion (MALBATT) di dalam misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) sejak tahun 2008.

“Selain itu, Brunei juga menganggotai Tim Pemantau Antarabangsa atau International Monitoring Team (IMT) di Mindanao, Filipina yang diketuai Malaysia sejak 2004,” kata kenyataan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas