Berita

Misi bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan lalui empat fasa

DR. DZULKEFLY (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 3 Februari 2020 9:15 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipatuhi sepenuhnya pada setiap masa dalam melaksanakan misi untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang kini berada di Wuhan, China.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, misi tersebut terbahagi kepada empat fasa, iaitu sebelum berlepas ke Wuhan, semasa misi membawa pulang, ketibaan di tanah air dan seterusnya kemasukan semua individu yang terlibat ke Pusat Pemantauan yang dikenal pasti.

”Mereka yang akan dibawa pulang hanyalah mereka yang didapati sihat setelah melalui saringan kesihatan (exit screening) yang akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Negara China di Lapangan Terbang Antrabangsa Wuhan Tianhe.

”Mereka yang didapati bergejala akan dibawa ke fasiliti kesihatan di Wuhan untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini sini hari ini.

Misi Bantuan Kemanusiaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia itu diterajui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), AirAsia, Malaysia Airport Holdings Bhd., Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain agensi.

Dzulkefly berkata, seterusnya pada fasa ketibaan, pesawat yang membawa pulang rakyat Malaysia akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun, jelas beliau, kesemua penumpang tidak akan memasuki bangunan terminal KLIA sebaliknya mereka akan turun dari pesawat dan terus menaiki bas khas yang seterusnya membawa mereka ke bangunan Air Disaster Unit (ADU) untuk proses dikontaminasi dan saringan kesihatan (entry screening).

”Mereka yang didapati bergejala akan dibawa terus ke hospital rujukan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) manakala mereka yang tidak bergejala akan dibawa ke Pusat Pemantauan.

”Mereka hanya akan dibenarkan untuk pulang ke kediaman masing-masing selepas disahkan sihat dan didapati negatif jangkitan 2019-nCoV.

Beliau berkata, kementeriannya memohon semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan misi tersebut berjalan lancar dan keselamatan semua yang dibawa pulang dari Wuhan serta pasukan misi dan kru terlibat.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

MAKLUMAT TERKINI KES 2019-nCoV DI MALAYSIA

  • Daripada 10 Januari sehingga 3 Februari setakat pukul 12 tengah hari, tiada pertambahan kes positif 2019-nCoV.
  • Jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan kekal lapan kes iaitu tiga kes yang terdahulu dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima kes dalam kalangan kontak rapat.
  • Kesemua kes positif 2019-nCoV ini adalah warganegara China.
  • Sehingga 3 Februari pukul 12 tengah hari, jumlah kumulatif kes PUI bagi 2019-nCoV adalah 192 orang iaitu 105 warganegara Malaysia, 82 warganegara China dan masing-masing seorang warganegara Australia, Republik Korea, Jordan, Brazil dan Thailand.
  • Tiga kes disahkan positif 2019-nCoV, 173 kes negatif dan 16 masih menunggu keputusan makmal.
  • Kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV kekal seramai 32 orang.
  • Daripada jumlah ini, seramai lima kes disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh (empat) dan Hospital Permai, Johor Bahru (satu).
  • Kesemua kes ini adalah dalam keadaan stabil manakala ujian makmal ke atas 27 kontak rapat lain didapati negatif jangkitan 2019-nCoV.

Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini mengenainya. Sila hubungi infoline Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) di talian 03-8881 0200/600 untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai jangkitan 2019-nCoV.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas