Berita

MatDon sah rakyat Malaysia, harapan Harimau Malaya ke Piala Dunia

MATDON gembira terima MyKad.
- Diterbit 3 Februari 2020 9:52 AM MYT

PUTRAJAYA – Liridon Krasniqi atau lebih dikenali MatDon, pemain tengah berasal dari Kosovo, hari ini secara rasminya menjadi warganegara Malaysia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari lalu, sekali gus layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warga negara kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

“Diharapkan, dengan kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya akan dapat memperkasakan lagi pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Stuart merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin serta pegawai Kementerian Dalam Negeri yang banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini.

Jelasnya, FAM dengan rasa berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Liridon sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, inisiatif dan idea pengambilan pemain naturalisasi tersebut dicetuskan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sejak hari pertama beliau memegang jawatan tertinggi pada 14 Julai 2018.

Ujar beliau, ia seterusnya mula digerakkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi disusuli mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat iaitu jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang telah diluluskan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat kali ketujuh, penggal 2017-2021 pada 30 Mac tahun lalu. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas