Brek rosak punca lif PPR Kerinchi terhempas

Brek rosak punca lif PPR Kerinchi terhempas

Oleh NAZWIN NAZRI
winwilayahku@gmail.com
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Kerosakan salah satu komponen dalam sistem brek merupakan punca utama lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini terhempas dari tingkat lima, 2 Ogos lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, berdasarkan siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), kerosakan pada komponen berkenaan menyebabkan sistem brek lif tidak berfungsi dengan baik.

“Kegagalan sistem brek ini menyebabkan momentum jatuhan mengikut bebanan di dalam lif. Disebabkan ketinggian hanya pada tingkat lima, kelajuan jatuhan tidak mencapai tahap untuk mengaktifkan brek kecemasan.

“Pada hari kejadian, brek pada lif berkenaan tidak berfungsi disebabkan ‘plunger’ dalam gegelung dawai (selonoid) yang merupakan salah satu komponen brek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan punca lif terhempas di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah dan Pengarah Bahagian Forensik JKKP, Salina Tukimin.

Mengulas lanjut Khalid memberitahu, terdapat dua sistem brek pada setiap lif iaitu brek biasa yang menghentikan pergerakan lif di setiap tingkat bangunan dan brek kecemasan yang akan berfungsi selepas pergerakan lif mencapai kelajuan tertentu.

Katanya, brek bermasalah itu terletak di bahagian atas sekali dan berfungsi mencengkam kabel bagi menghentikan lif.

“Lif itu bergerak pada kelajuan 2.13 meter sesaat sebelum terhempas berbanding tahap untuk brek kecemasan diaktifkan adalah 2.18 meter sesaat pada kadar elektrikal atau 2.26 meter sesaat pada kadar mekanikal.

“Siasatan JKKP menerusi kotak hitam mendapati fungsi lain pada brek dalam keadaan baik termasuk isyarat arahan brek serta pengukur kelajuan lif. Namun didapati ada bahagian pada ‘plunger’ terhakis dan tidak berfungsi,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid sekali lagi memaklumkan bahawa lif berkenaan diselenggara mengikut jadual dan kali terakhir diselenggara seminggu sebelum kejadian, malah ia sejajar dengan siasatan JPPK.

Jelas beliau, lif terbabit digunakan sejak 12 tahun lalu dan selonoid terbabit tidak pernah ditukar sepanjang tempoh itu.

Ujarnya, JKKP juga akan berhubung dengan pihak pengeluar selonoid dari Korea bagi mendapatkan maklumat sama ada komponen terbabit boleh diguna dalam jangka masa tertentu atau sebaliknya.

Tambah beliau, tiada tindakan akan dikenakan kepada mana-mana pihak berikutan siasatan JKKP mendapati pihak kontraktor menjalankan tugas penyelenggaraan mengikut jadual. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS