Berita

Brazil lapor 47,784 kes COVID-19 baharu, 1,352 kematian

- Diterbit 19 Ogos 2020 9:41 AM MYT

COVID-19 telah meragut 1,352 nyawa di Brazil dan 751 lagi maut di Mexico dalam tempoh 24 jam lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan pada Rabu.

Di Brazil, negara kedua paling teruk dilanda virus itu selepas Amerika Syarikat (AS), jumlah kematian meningkat kepada 109,888 orang, manakala jumlah kes melonjak lebih daripada 3.4 juta, termasuk 47,784 jangkitan baharu. Jumlah pemulihan melebihi 2.5 juta, lapor agensi berita Anadolu.

Dengan populasi melebih 211 juta, Brazil dilihat sebagai pusat pandemik COVID-19 di Amerika Latin.

Walaupun pemerintah dituduh tidak bersungguh-sungguh dalam usaha membendung virus tersebut, wakil Presiden Hamilton Mourão mempertahankan langkah beliau menanganinya, dan sebaliknya menyalahkan kurangnya disiplin dalam kalangan warga Brazil yang gagal melakukan penjarakan sosial.

Presiden Jair Bolsonaro, yang diuji positif virus pada 7 Julai, juga sudah pulih.

Sementara itu, angka kematian di Mexico mencecah 57,774 dengan 751 penambahan. Jumlah kes meningkat kepada 531,239, kerana 5,506 orang diuji positif. Sebanyak 363,307 pesakit telah sembuh dari penyakit ini.

Kes COVID-19 pertama di Mexico didaftarkan pada 28 Februari dan kematian pertama pada 19 Mac.

Sejak Disember lalu, lebih 22 juta orang telah dijangkiti, sementara lebih 781,000 telah meninggal dunia di 188 negara dan wilayah disebabkan virus itu, menurut laporan Johns Hopkins University. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas