Berita

PM Jepun kembali bertugas selepas jalani pemeriksaan kesihatan

- Diterbit 19 Ogos 2020 9:37 AM MYT

PERDANA Menteri Jepun Shinzo Abe kembali bertugas pada Rabu selepas bercuti selama tiga hari, termasuk untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital, yang mencetuskan spekulasi mengenai keadaan kesihatannya, lapor agensi berita Sputnik.

“Saya menjalani pemeriksaan demi untuk menjaga kesihatan saya. Saya sudah kembali bertugas semula sekarang dan berharap dapat bekerja dengan lebih kuat,” kata Abe memetik laporan Kyodo.

Khabar angin mengenai keadaan ahli politik berusia 65 tahun itu timbul selepas dilaporkan beliau mengalami muntah darah pada Julai lalu. Sementara itu, sumber terdekatnya berkata perdana menteri itu terlalu penat selepas berbulan-bulan mengetuai negara untuk pencegahan COVID-19.

Menurut pembantunya, Abe ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan biasa.

Sebelum ini, pada 2006-2007, Abe terpaksa mengundurkan diri selepas dikatakan menghidap penyakit berkaitan usus. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas