Berita

Bomba pantau lebih 400 titik panas kebakaran di seluruh negara

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Januari 2024 2:15 PM MYT

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan terhadap lebih 400 titik panas atau hotspot kebakaran di seluruh negara, susulan musim kemarau yang dijangka berlaku bermula bulan depan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata lokasi berkenaan ialah kawasan gambut, tapak pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan yang dimiliki dan dioperasi oleh pihak berkuasa tempatan.

“Lokasi yang paling dirisaukan kebakaran ialah kawasan gambut terutamanya di Selangor, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak, jadi kita akan beri tumpuan kepada lokasi-lokasi hotspot yang telah dikenal pasti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tahunan di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan cuaca kering pada tahun ini turut dijangka lebih teruk berbanding tiga tahun sebelum ini.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai supaya membuat laporan segera kepada JBPM sekiranya mengetahui sebarang maklumat berhubung pihak tidak bertanggungjawab yang memulakan kebakaran.

“Kita buat pemantauan melalui sistem juga tetapi pengesanan yang paling penting dan efektif ialah mata manusia … orang ramai boleh melihat, boleh beri maklumat lokasi dan keadaan kebakaran dengan tepat untuk membolehkan kita bertindak dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, dalam perutusan pertamanya selepas menerajui jabatan berkenaan sejak 9 Jan lepas, Nor Hisham berkata JBPM menyasarkan penubuhan 300 Pasukan Bomba Komuniti (PBK) dan tujuh pasukan bomba sukarela (PBS) baharu tahun ini.

Selain itu, katanya JBPM akan terus menggerakkan inisiatif digitalisasi dengan lebih agresif melalui pelaksanaan dua projek berimpak tinggi pada tahun ini yang melibatkan pemodenan pusat kawalan Command, Control Communications, Computers and Intelligence (C4iFRDM) dan sistem bersepadu ePREMIS.

Menurut beliau, pelaksanaan sistem ePREMIS yang mengintegrasikan semua fungsi perkhidmatan teras di Bahagian Keselamatan Kebakaran memudahkan akses kepada perkhidmatan antaranya permohonan Perakuan Pepasangan Keselamatan Kebakaran, Perakuan Keselamatan Kebakaran, Perakuan Pelesenan Penggunaan Premis dan Perakuan Bomba. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas