Berita

Sukaneka KRT Sungai Bangat rapatkan hubungan

PESERTA yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak beraksi pada acara bawa bola ping pong dalam sudu pada program sukaneka anjuran KRT bersama MPKK Sungai Bangat baru-baru ini.
- Diterbit 7 November 2019 6:37 AM MYT

LABUAN – Acara sukaneka Kawasan Rukun Tetangga dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Bangat di Balai Raya Kampung Sungai Bangat baru-baru ini berlangsung penuh meriah dengan semangat yang harmoni.

Menurut Pengerusi KRT kawasan itu, Sahat Zainal, kesemua acara yang dipertandingakan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung.

“Kesemua acara yang dijalankan mendapat penyertaan menggalakkan daripada penduduk kampung tanpa mengira lapisan umur dan latar belakang sekali gus berjaya memeriahkan program ini dengan pelbagai ragam serta aksi mencuit hati.

“Ini membuktikan penduduk kampung ini sentiasa memberikan sokongan kepada program-program komuniti yang dirancang bagi merapatkan silaturahim serta perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Sungai Bangat, Osman Dullah berkata, pihaknya sentiasa memberikan kerjasama dengan KRT atau mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program yang boleh merapatkan hubungan semua komuniti di sini.

“Kita di Sungai Bangat sentiasa bekerjasama tanpa mengira latar belakang politik, agama dan kaum kerana apa yang penting adalah semua penduduk kampung dapat manfaat serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan komuniti.

“Insya-Allah pada masa depan kita akan terus mendekati seramai mungkin penduduk kampung ini dengan pelbagai pendekatan agar persefahaman antara komuniti dan MPKK dapat terus disuburkan,” katanya.

Antara pengisian program itu ialah pertandingan mewarna kanak-Kanak, pertandingan merambat, bawa bola ping pong dalam sudu, boling kelapa, pancing botol, isi air dalam botol, cabutan nombor bertuah dan baling belon air.

Hadir sama memeriahkan serta menyampaikan hadiah bagi beberapa acara adalah Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Dr. Ramli Tahir.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas