Berita

Wilayah Persekutuan sasar dana RM2 juta, hadapi lebih banyak lokasi PKPD

TAN SRI TPr ANNUAR MUSA
- Diterbit 17 April 2020 11:33 AM MYT

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKNWP) akan berusaha mendapatkan dana sebanyak RM2 juta sebagai persediaan awal bagi menghadapi lebih banyak kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, dana tersebut bagi menyediakan bekalan makanan mencukupi di kawasan yang dikenakan PKPD.

“Kita akan mengambil langkah awal kerana bulan Ramadan sudah hampir dengan memantau secara rapi perkembangan kes Covid-19 di Wilayah Persekutuan kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini telah meminta supaya untuk menumpukan lokaliti yang lebih kecil.

“Kita tumpukan di Kuala Lumpur kerana kes banyak berlaku di sini dan kita sedang membuat perancangan sekiranya KKM memutuskan ada lagi kawasan yang akan diisytiharkan PKPD, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Pusat Pengurusan Krisis (CMC) di bangunan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Muhamad Al-Bakri.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara dan Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Al Habsyi.

Annuar yang juga Pengerusi JKKNWP berkata, pihaknya sedang berunding dengan Panglima 12 Briged Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mewujudkan dapur bergerak walaupun kini pihaknya menyalurkan makanan pek yang berbeli.

“Ia dijangkakan satu jumlah lebih besar yang terpaksa ditanggung. Mungkin melibatkan bukan warganegara dan keputusan itu dibuat atas dasar kemanusiaan.

“Kalau perlu kawasan PKPD ditambah, saya harap KKM jangan menangguhkan (isytihar) dan kita bersedia mengambil tanggungjawab.

“Kalau kita terpaksa memberi makan yang sekarang ini jumlahnya 3,000 hingga 4,000, kalau terpaksa memberi makan sehingga 10,000 orang pun, kita akan ambil tanggungjawab,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas