Bicara kes rasuah Ahmad Zahid berkaitan sistem visa bersambung 5 Julai
BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi mendengar permohonan rayuannya untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah kepada tiga dalam perbicaraan kes berkaitan dana Yayasan Akalbudi. Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Ahmad Zahid. Kredit foto: Bernama

Bicara kes rasuah Ahmad Zahid berkaitan sistem visa bersambung 5 Julai

PERBICARAAN kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang ditangguh sebelum ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, akan bersambung 5 hingga 7 Julai di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi Whatsapp hari ini berkata pada perbicaraan itu pihaknya akan memanggil semula saksi pendakwaan ketiga  untuk memberi keterangan dan dua lagi saksi baharu.

Kes itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara selama lima hari sepanjang minggu ini, di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa namun ditangguh berikutan PKP 3.0.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 serta dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — BERNAMA

 

CATEGORIES