Bekas pengurus MARDI didakwa salah guna kuasa
TERTUDUH didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga paling rendah syarikat milik sekutunya untuk mendapatkan kerja-kerja penambahbaikan sistem pemotongan bagi tujuan mempelbagaikan produk hasilan kilang jejari berjumlah RM17,000 di MARDI, Besut pada Mac 2015. Kredit foto: Bernama

Bekas pengurus MARDI didakwa salah guna kuasa

SEORANG bekas pengurus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohd Saiful Nizam, 40, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengurus Inkubator MARDI Besut bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noriah Osman.

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga paling rendah syarikat milik sekutunya untuk mendapatkan kerja-kerja penambahbaikan sistem pemotongan bagi tujuan mempelbagaikan produk hasilan kilang jejari berjumlah RM17,000 di MARDI, Besut pada Mac 2015.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana jumlah yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Asaari Salleh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes yang dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Julai. — BERNAMA

 

CATEGORIES