Berita

Bicara Akrab Cakna PPj 2021 bantu tangani cabaran emosi

PESERTA boleh mengikuti program melalui laman Facebook PPj.
- Diterbit 10 September 2021 9:05 AM MYT

HAMPIR dua tahun berdepan dengan pandemik COVID-19, ramai yang hampir kecundang dalam menangani cabaran emosi kerana ia sukar untuk ditafsirkan.

Memahami kegelisahan itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) membawakan Program Bicara Akrab Cakna PPj 2021 untuk membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan dalam kalangan warganya.

Hadir dalam tiga sesi, program secara maya itu dibahagikan kepada tiga segmen menarik iaitu Urus Emosi Tingkatkan Prestasi, Pengubatan Islam: Merawat Emosi dan Poket Sihat, Hidup Ceria.

Menurut Pengerusi Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) PPj, Asrol Hafiz Zainal, sasaran utama program tersebut adalah untuk menyemaikan sifat-sifat kerohanian dalam diri warga PPj.

“Setiap segmen mempunyai kekuatan tersendiri. Misalnya dalam topik urus emosi kita bawakan pakar motivasi dari elemen moden dan juga Islamik. Ini kerana cara pengurusan emosi daripada kedua-duanya berkait rapat.

ASROL

“Untuk elemen Islamik, kita mengetengahkan Pengamal Pengubatan Islam Darussyifa, Mohd Fauzi Mustaffa yang akan memberi tips-tips merawat emosi dalam Islam selain berkongsi doa-doa untuk amalan bagi mententeramkan jiwa,” ujar Asrol.

Selain itu, ujarnya, bagi segmen Poket Sihat pula, Pakar Perancangan Kewangan, Shamsuddin Kadir pula akan membantu dari segi menguruskan kewangan secara berhemah agar tidak mendatangkan pembaziran.

“Kita faham, penjawat awam tiada masalah dalam pembayaran gaji namun kita ingin mengelakkan mereka daripada membelanjakan wang dengan boros sehingga tidak membuat sebarang simpanan.

“Belanja secara berhemah, itu yang kita ingin terapkan kepada mereka. Insya-Allah dengan adanya siri bual bicara ini, besar harapan kita agar dapat membantu golongan ini menguruskan gaji,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambahnya lagi, biarpun pada mulanya program dikhaskan kepada warga PPj namun ia turut mendapat sambutan daripada masyarakat luar memandangkan ia bersiaran secara langsung di laman Facebook Perbadanan Putrajaya.

“Alhamdulillah, diharapkan ia memberi manfaat kepada semua. Bagi yang ingin mengikuti program ini, anda boleh ke laman Facebook PPj pada 14 dan 21 September 2021 bermula pukul 9.30 pagi,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas