Berita

Food Bank Putrakop: Ambil ikut keperluan, beri seikhlas hati

FOOD Bank yang disediakan dihadapan Coop Mart, Presint 16.
- Diterbit 10 September 2021 8:54 AM MYT

MENYEDARI ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sehingga tidak kurang yang terputus makanan, Koperasi Perbadanan Putrajaya Berhad (PutraKop) tampil membantu dengan menyediakan barangan keperluan asas melalui Food Bank.

Menurut Pengurus Besar PutraKop, Suzita Tusirin, PutraKop mengalu-alukan mereka yang memerlukan untuk tampil ke kedai serbaneka CoopMart, Presint 16 bagi mengambil barangan keperluan asas yang disediakan di Food Bank.

“Tiada syarat yang dikenakan, mereka yang memerlukan hanya perlu datang, tulis nama dan ambil barangan mengikut keperluan.

Tujuan kita hanya untuk membantu bagi meringankan beban golongan memerlukan.

SUZITA

“Pihak PutraKop menggunakan sepenuhnya dana zakat koperasi yang mana pihak kami juga telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai wakil untuk menyalurkan zakat,” ujar beliau.

Tambah Suzita lagi, mereka juga mengalu-alukan pihak luar yang ingin menyalurkan dana sumbangan melalui Food Bank dengan pilihan tiga pakej sumbangan.

“Pakej A:RM30, Pakej B:RM50 dan Pakej C:RM100 mengikut pilihan masing-masing terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang ingin menyertai program berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini.

“Setakat ini sambutan terhadap sumbangan yang diterima amat menggalakkan yang mana saya percaya penyumbang-penyumbang kita yakin dengan kredibiliti PutraKop itu sendiri sebagai saluran yang betul,” kata beliau.

Antara sumbangan barangan asas yang disediakan terdiri daripada beras, tepung, gula, minyak masak, lampin pakai buang bayi dan banyak lagi.

Bagi anda yang ingin menyalurkan sumbangan, bolehlah menderma ke nombor akaun Ambank Islamik Berhad (Koperasi Perbadanan Putrajaya) 8881031875749 (sertakan rujukan Pakej yang dipilih samada A/B/C).

Untuk maklumat lanjut boleh berhubung di talian 011-10847110 atau emel; [email protected] atau ke laman sesawang www.putrakop.com atau laman sosial Facebook Koperasi PPj dan
Instagram (Putrakop).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas