Artikel

Jadikan dunia sebagai kediaman terbaik

- Diterbit 16 Januari 2020 1:22 PM MYT

DAHULU tahun 2020 dinanti detik ketibaannya oleh rakyat Malaysia. Diilustrasikan oleh para pemimpin bahawa Malaysia akan menjadi negara berteknologi tinggi dan pesat membangun. Inilah gambaran yang telah dipasak dan dinanti-nanti oleh rakyat yang lahir pada tahun 90-an seperti penulis.

Namun kemajuan dan teknologi tidak memberikan faedah jika jauh tersasar dari kemajuan alam sekitar yang menjadi kediaman seluruh umat manusia di Bumi ini. Segelintir pihak mempunyai sikap terlampau ghairah membangun kota, dalam diam merobohkan alam.

risis alam sekitar merupakan isu kronik dan wajar dibincangkan secara serius oleh segenap lapisan masyarakat kerana ia adalah isu kemanusiaan sejagat. Lebih-lebih lagi generasi muda yang menjadi waris dalam meneruskan kemajuan negara ini.

Akibat mengabaikan alam sekitar akan dirasai bukan sahaja generasi kini malah anak cucu-cicit kita bergenerasi.

Benar, generasi muda mempunyai pengetahuan kesedaran yang terhad mengenai kualiti alam tetapi kita berupaya dan mempunyai kepentingan, potensi besar serta keinginan yang kuat untuk mencipta kualiti alam sekitar yang lebih kondusif untuk dunia sejagat.

Krisis

Krisis alam sekitar telah benar-benar menggemparkan masyarakat dunia. Data sains tentang bahaya krisis ini telah banyak terkumpul dan memberikan gambaran masa depan yang amat menggerunkan.

Generasi muda perlu tampil memberikan reaksi positif, sekurang-kurangnya dalam bentuk keinginan yang serius untuk turut memahami krisis sejagat ini . Ini kerana kitalah sebenarnya yang bakal menerima padah daripada kegawatan ini.

“Justeru tahun 2020 merupakan masa yang sesuai untuk menyahut cabaran dan menyatakan komitmen bagi menjadikan dunia kediaman terbaik untuk
hidup

Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam karyanya, Islam and Secularism mengungkapkan bahawa krisis yang melanda dalam masyarakat kini (termasuklah pemerkosaan alam sehingga hilang keseimbangannya) adalah kerana ‘confusion and error in knowledge’ akibat sistem pendidikan yang tidak bersepadu. Akibatnya, kecelakaan telah menimpa alam, haiwan, tumbuhan dan galian.

Syed Hosein Nasr pula menyifatkan krisis alam sekitar sebagai bencana yang diakibatkan oleh kehilangan manusia terhadap nilai kudus pada alam (the sacred value of nature).

Sehubungan itu, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang diperkenalkan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah koleksi 17 matlamat global yang direka untuk menjadi pelan tindakan bagi mencapai masa depan yang lebih baik dan lebih lestari untuk semua.

SDG yang ditetapkan pada tahun 2015 itu menyasarkan pencapaiannya pada tahun 2030 dengan menyenaraikan cabaran global yang dihadapi oleh masyarakat dunia termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, keamanan dan keadilan.

17 matlamat global itu kesemuanya saling berkaitan dan meletakkan hasrat untuk tidak meninggalkan sesiapa di belakang. Hasrat mulia ini penting untuk dicapai semuanya pada tahun 2030 yang selari dengan agenda negara melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Justeru tahun 2020 merupakan masa yang sesuai untuk menyahut cabaran dan menyatakan komitmen bagi menjadikan dunia kediaman terbaik untuk hidup. Tempoh 10 tahun sebelum menjejaki tahun 2030 harus diluahkan dalam bentuk tindakan yang memelihara dan memulihara alam ini. Tanggungjawab ini terpikul kepada seluruh lapisan masyarakat baik di Malaysia mahupun di dunia.

Muhammad Wafiuddin Rosli merupakan eksekutif syariah di sebuah institusi kewangan Islam

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas