Berita

Beri tumpuan usaha sambut tetamu Tahun Melawat Malaysia 2020

KHALID-TOWNHALL
KHALID ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini hari ini.
- Diterbit 17 Januari 2020 5:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Kakitangan Kementerian Wilayah Persekutuan diminta memberikan tumpuan kepada usaha dan persediaan untuk menyambut kemasukan pelancong asing dalam menjayakan program Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, persediaan itu penting berikutan pelbagai program bakal dilaksanakan di Wilayah Persekutuan antaranya Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 pada April ini dan Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November depan.

Beliau menegaskan, kebersihan dan keindahan di Wilayah Persekutuan mesti menjadi keutamaan supaya pelancong asing yang datang dapat membawa kenangan indah serta cerita positif tentang Malaysia.

“Di peringkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur memperuntukkan RM10 juta untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai untuk tambah tenaga kerja.

“Untuk memastikan keindahan dan kebersihan pula, saya telah meminta DBKL menyediakan bajet RM50 juta bagi kontraktor G1 di Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini hari ini.

Pada majlis itu, sembilan kakitangan KWP menerima Anugerah Pegawai Contoh.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Khalid memberitahu, bagi tahun ini, pihaknya akan memberi tumpuan penuh kepada Inisiatif Memperkasa Miskin Bandar, Membina Wilayah Gemilang antaranya memperkenal program Rumah Harapan.

Ujarnya, program tersebut akan menawarkan kediaman berharga RM150,000 ke bawah kepada warga Wilayah Persekutuan sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Menyentuh isu tempat letak kereta di perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR) pula, beliau berkata, perkara itu akan ditangani melalui pihak pengurusan parkir yang lebih efisien.
– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas