Berita

RM8.82 bilion dijimatkan melalui proses rasionalisasi projek MRT 2

GUAN ENG (belakang, kiri) bersama Anthony Loke menyaksikan Paul Ha (depan, dua dari kanan) dan Abdul Yazid bertukar dokumen Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek MRT 2 yang dimeterai MRT Corp dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 17 Januari 2020 4:53 AM MYT

PUTRAJAYA – Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) menandatangani perjanjian memuktamadkan proses rasionalisasi kos pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) 2 melibatkan Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dengan penjimatan kos sebanyak RM8.82 bilion.

Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek yang dimeterai bersama MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn. Bhd. itu mengurangkan kos kepada RM30.53 bilion berbanding nilai asal RM39.35 bilion.

Ia sekali gus memberikan penjimatan sebanyak 22.4 peratus berbanding kos asal MRT 2 seperti dirundingkan antara kerajaan dan MMC-Gamuda pada Oktober 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penjimatan kos berjumlah RM8.82 bilion itu berjaya dicapai dengan membina kapasiti MRT 2 secara progresif untuk memenuhi permintaan semasa dengan peruntukan penambahbaikan berdasarkan tahap penggunaan pada masa hadapan.

”Dengan ini, pihak MRT Corp dan MMC-Gamuda boleh menumpukan usaha untuk menyiapkan MRT2 dalam tempoh dan kos yang ditetapkan bagi menyediakan rakyat dengan sebuah mod pengangkutan yang moden, efisien, boleh dipercayai, selamat dan mesra alam,” kata beliau pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek MRT 2 melibatkan MRT Corp dan MMC-Gamuda di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perjanjian tambahan itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Abdul Yazid Kassim manakala MMC-Gamuda KVMRT diwakili Pengarah syarikat, Datuk Seri Che Khalid Mohamad Noh dan Ir. Datuk Paul Ha.  Turut menyaksikan majlis itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Guan Eng berkata, penjimatan kos tersebut antaranya disumbangkan daripada penangguhan dan rasionalisasi skop kerja bawah tanah dan bertingkat seperti penundaan pembukaan stesen-stesen bawah tanah di Bandar Malaysia serta penyederhanaan kemasan seni bina stesen.

Selain itu, katanya, perubahan struktur projek dari model rakan pelaksana kepada model `turnkey’ menghasilkan penjimatan yuran Rakan Pelaksana Projek.

Tambahnya, ia juga melibatkan rasionalisasi peruntukan bayaran balik, kontingensi dan wang provisional selain perubahan skop untuk kerja-kerja sistem mekanikal dan elektrikal.

“Walaupun terdapat perubahan dalam struktur projek, pihak kerajaan telah memastikan supaya sasaran asal penyertaan bumiputera sebanyak 45 peratus daripada nilai kontrak RM30.35 bilion iaitu RM13.7 bilion dikekalkan,” katanya. Ini melebihi sasaran 30 peratus yang ditetapkan di bawah dasar bumiputera kerajaan.

Guan Eng berkata, penangguhan melibatkan stesen-stesen di kawasan Bandar Malaysia kerana mengambil kira jumlah volume dan tahap kemajuan pembangunan projek berkenaan.

”Itu kita tangani kemudian, kita hendak tengok perkembangan Bandar Malaysia, jika kita buat juga sangat cepat tetapi tidak memenuhi kapasiti itu satu kerugian. Sudah tentu kita perlu mengambil kira permintaan dan tahap pembangunan Bandar Malaysia,” jelas beliau yang mahu memastikan kemajuan projek itu dipercepatkan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, kata beliau, kemajuan projek MRT 2 sudah mencapai tahap 70 peratus dan dijangka siap pada tahun 2022 dengan operasi penuhnya pada tahun 2023.
Jelas beliau, tarikh mula operasi fasa pertama MRT 2 iaitu antara Stesen Kwasa Damansara dan Kampung Batu kekal sama pada Julai 2021 manakala fasa kedua dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral mula beroperasi pada Januari 2023.
Ia merupakan lanjutan selama enam bulan berbanding tarikh asal bagi membolehkna proses rasionalisasi dijalankan.
”Kita yakin tarikh siap operasi itu pasti akan dicapai dan kita juga harap ia boleh diawalkan,” katanya.

MRT2 melibatkan jajaran sejauh 52.2 kilometer(km) dengan 38.7km ialah laluan bertingkat manakala 13.5km landasan di bawah tanah. Laluan SSP akan mempunyai 35 stesen dengan 24 stesen bertingkat, 11 stesen bawah tanah manakala satu stesen ‘separa tenggelam’ dibina di bawah tanah.  Laluan tersebut bakal memberikan manfaat kepada 529,000 penumpang. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas