Berita

Rewilding Lembah Pantai Rewilding Lembah Pantai hijaukan Taman Lucky

FAHMI (tengah) bersama wakil penduduk Lembah Pantai, DBKL dan PAM selepas menanam pokok Ficus Carica di bulatan Taman Lucky baru-baru ini.
- Diterbit 17 Januari 2020 8:17 AM MYT

PERSEKITARAN hijau di bawah Inisiatif Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi semestinya menjadi fokus utama di Wilayah Persekutuan.

Justeru, Majlis Perwakilan Penduduk Zon Lembah Pantai bersama persatuan-persatuan penduduk Bangsar mengadakan program penghijauan semula Lembah Pantai yang dilaksanakan di bulatan Taman Lucky, Bangsar Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, program tersebut diadakan bagi menanam kesedaran dan rasa cinta terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

“Program Penghijauan Semula Lembah Pantai atau ‘Rewilding of Lembah Pantai’ diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Persatuan Arborist Malaysia.

“Selain itu, turut bersama adalah Free Tree Society Kuala Lumpur dan pasukan Bandar Selamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balai Polis Pantai,” katanya.

Fahmi memberitahu, pada program itu, sebanyak 271 batang pokok pelbagai jenis ditanam di Jalan Ara manakala 15 batang pokok lagi di sekeliling bulatan Taman Lucky mengikut nama jalan.

Ujar beliau, sebanyak 33 batang pokok lagi akan ditanam di Jalan Pantai Murni 1 manakala 5,000 batang pokok hutan akan ditanam di Taman Rimba Bukit Kerinchi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru supaya orang ramai khususnya warga Lembah Pantai sentiasa mengambil berat tentang alam sekitar dan bersama-sama DBKL menuju matlamat Kuala Lumpur Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030.

Sebelum ini, DBKL turut mengumumkan program penanaman 1,000 pokok akan dilakukan sempena 1,000 anak Kuala Lumpur yang lahir antara 2015 hingga 2018.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas