Selebriti

‘Beri peluang, asah bakat pempengaruh digital’ – Afdlin

- Diterbit 22 Disember 2023 11:30 AM MYT

PENGERUSI Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan sutradara terkenal, Datuk Afdlin Shauki berharap pempengaruh digital dapat menjadi ahli pertubuhan FDAM.

Ia bertujuan membuka peluang dan mengasah bakat mereka sekali gus menimba ilmu bersama FDAM dan ahli senior yang berpengalaman.

“Semua sedia maklum, video pendek yang diilhamkan mereka ternyata unik dan mendapat pengaruh serta tontonan yang tinggi dalam media sosial. Penyertaan dalam FDAM akan memantapkan lagi bakat dan potensi tersebut.

“Dulunya kita hanya buat untuk pembikin filem, kemudian filem pendek. Sekarang kita memperluaskan skop itu dengan melibatkan juga pengarah konten media sosial.

“Mungkin kita boleh bawa menyertai kursus-kursus latihan serta mengasah dan memperhalusi lagi bakat serta kemahiran yang ada untuk mendekati golongan ini kerana ketika ini dunia kandungan dikuasai mereka.

“Kita jangan sombong dan duduk dalam kepompong kita, sebaliknya mesti terbuka menerima kehadiran pembikin filem bebas tidak kira usia, bangsa mahupun agama,” ujar beliau semua pihak harus sentiasa menyokong mereka agar dapat memperkasakan semula filem-filem Malaysia.

Afdlin juga dalam masa yang sama sedang berusaha untuk menjenamakan semula FDAM agar dapat menjadi tonggak utama untuk pengarah di Malaysia.

“Kita akan rebrand atau penjenamaan semula mengenai FDAM dan fungsinya. Ini termasuklah fungsi-­fungsi tambahan yang ada.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan berbincang dengan pihak kementerian tentang peranan yang boleh dimainkan oleh FDAM bersama mereka,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau juga menjelaskan isu mengenai FDAM dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah pun selesai dan FDAM boleh kembali aktif.

“Isu berkaitan ROS tu sudah pun selesai pada September lalu. Tidak dinafikan, disebabkan perkara itu, imej FDAM ada sedikit tercalar.

“Jadi perkara-perkara sebegitu kita akan perbaiki untuk kebaikan ahli-ahli kita dalam usaha untuk kembalikan FDAM sebagai satu badan yang dihormati dalam Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Afdlin dipilih sebagai Pengerusi FDAM yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2025. Pemilihan beliau berdasarkan undian majoriti ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM ke-25 di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas