Berita

Beri ‘joran’ bukan ‘ikan’ sinar buat Burger Abah Mook

|||
- Diterbit 30 November 2020 4:30 AM MYT

DALAM keadaan ekonomi yang tidak stabil, banyak syarikat ‘gulung tikar’. Kesannya ramai yang terpaksa menganggur sekali gus hilang punca pendapatan. Hal itu turut dirasai oleh bekas wartawan Muhammad Basir Abu Bakar, 41.

Pernah jatuh terduduk dan hilang arah buat seketika, namun dia bangkit demi mencari sesuap nasi buat keluarga tercinta. Baginya, tiada guna meratap nasib kerana masa tidak mungkin berulang kembali.

“Bayangkan ketika syarikat terpaksa ditutup, saya dan isteri, Noor Azlina Jaafar, 42, hilang tempat bergantung. Dengan hutang rumah, kereta dan sebagainya, kami betul-betul tertekan. Semua kerja kami buat, jadi ejen jualan minyak wangi, produk sejuk beku dan sebagainya.

“Kami juga terpaksa menstruktur kembali pinjaman perumahan untuk mengurangkan tanggungan bulanan. Yelah dulu pendapatan kami berdua mencecah lima angka, sekarang dapat makan pun, dah bersyukur,” ujarnya yang kini turut berada di bawah kategori asnaf.

Bercerita lanjut tentang kehidupannya, bapa kepada tiga orang anak ini turut memiliki seorang anak yang menghidap penyakit jantung. Ternyata perkara tersebut juga membuatkan dia dan isteri cekal menghadapi dugaan.

“Walau macam mana susah sekalipun perjalanan hidup ini, kami tidak akan menyerah kalah begitu sahaja. Apatah lagi setiap kali terpandang wajah anak-anak yang sedang membesar. Sudah pasti kami mahukan yang terbaik buat mereka,” ujar Muhammad Basir.

Bak kata pepatah, setelah hujan akan ada pelangi dan kini keduanya sudah mampu
tersenyum gembira apabila mereka terpilih sebagai salah seorang peserta Projek Bangkit Khaira Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Melalui projek tersebut, dia dan isteri diberi bantuan untuk bergelar usahawan burger. Ternyata konsep beri ‘joran’ bukan ‘ikan’ membuatkannya lebih bersikap proaktif dan tidak menadah bantuan semata-mata.

“Laluan yang diberi ini kami gunakan sebaik mungkin. Saya tidak mahu hanya disuap bantuan tetapi tidak berusaha untuk memajukan diri. Bagi saya, untuk berjaya keluar daripada kesusahan, kita perlu berubah sikap,” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif PZZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Basir di rumahnya yang juga gerainya.

Dengan menggunakan sebaiknya sumbangan gerai, stok barangan Ramly burger, dia menjalankan perusahaan burger yang diberi nama burger abah mook di dalam kawasan pagar rumah di Balakong, Selangor bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Siapa sangka disebalik kawasan perumahan teres tersebut, terdapat burger yang sangat enak dan sering menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk sekeliling bahkan di luar kawasan Balakong.

“Alhamdulillah, setakat ini, hampir setiap hari lebih daripada 100 biji burger berjaya dijual. Kami juga turut menggunakan perkhidmatan tempahan makanan secara dalam talian, FoodPanda untuk memudahkan pelanggan,” katanya yang turut mendapat bantuan kelas pemasaran secara percuma melalui Projek Bangkit Khaira PPZ.

PEMBORONG BERJAYA

Ditanya tentang keenakan Burger Abah Mook, menurut Muhammad Basir, mereka memberi pilihan kepada pelanggan untuk menentukan sukatan campuran sos, mayonis dan sebagainya mengikut citarasa masing-masing.

“Bagi saya, kehendak pelanggan lebih diutamakan berbanding kita syok sendiri. Setiap orang kan tak sama. Setakat ini, maklum balas yang di terima amat baik. Yang pasti, burger kami lain daripada lain kerana menggunakan campuran kacang panggang,” katanya.

Berbicara tentang masa hadapan, dia mengakui tidak mahu mengharapkan jualan burger semata-mata namun bercita-cita untuk menjadi pemborong berjaya dengan
menyediakan produk sejuk beku ke seluruh negara.

“Itu impian saya dan kini sedang berusaha ke arah tersebut. Diharapkan semuanya akan menjadi kenyataan tidak lama lagi,” ujarnya yang beruntung dikurniakan seorang isteri yang sanggup jatuh bangun bersama-sama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas