Personaliti

Berfikiran positif tingkat kualiti hidup Teresa Teng

|
- Diterbit 13 Februari 2021 7:49 AM MYT

LIRIK lagu Yue Liang Dai Biao Wo de Xin bermaksud ‘bulan menggambarkan hatiku’, nyanyian Teresa Teng yang popular sejak tahun 1977 ini sesuai dengan sosok wanita kelainan upaya (OKU) Tang Yok Ching, 59, yang sentiasa positif dengan kehidupannya tatkala berhadapan dengan halangan.

Baginya, sungguhpun bergelar OKU sejak empat tahun lalu, ia tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya terus cekal untuk meneruskan kehidupan tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Teresa Tang berkata, sebelum ini, beliau merupakan seorang jururawat terlatih dan pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di International Medical Universiti (IMU) di Bukit Jalil selama lapan tahun.

“Selepas melalui beberapa pembedahan dan apabila kaki dipotong akibat menderita penyakit diabetes, ia telah menyukarkan sedikit pergerakan saya untuk menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja sehingga terpaksa berhenti kerja.

“Setelah itu, saya terpaksa lakukan pelbagai jualan yang melibatkan pelbagai produk untuk menampung kehidupan dan malangnya ia tidak mendapat sambutan,” katanya kepada Wilayahku Isnin lalu.

Teresa berkata, walaupun beliau merupakan penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun ia tidak mencukupi kerana berhadapan dengan pelbagai kos lain.

“Saya bersyukur kerana termasuk di dalam senarai penerima bantuan bulanan, tetapi ia tidak mencukupi kerana kos tambang pergi dan balik ke hospital sudah agak mahal selain barangan keperluan harian.

“Setelah diperkenalkan dengan perniagaan menjual rempeyek dan mendapati produk ini mudah dijual kerana ia rangup dan pelbagai lapisan masyarakat turut menyukainya.

“Produk itu turut mendapat sambutan malah rakan-rakan turut membantu memasarkan produk
ini sehingga jualannya meningkat menjelang hari perayaan termasuklah Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas,” katanya.

Cerita Teresa, sebelum ini, beliau merupakan seorang yang aktif dan terlibat dalam banyak kerja-kerja amal dan sukarelawan.

“Selepas terpaksa menjalani pembedahan dan kehilangan kaki, saya tidak berputus asa kerana kehidupan perlu diteruskan, malah saya pernah beritahu doktor bahawa saya boleh berjalan semula.

“Setiap pagi, saya akan berjalan dengan menggunakan kaki palsu secara perlahan-lahan di dalam rumah. Katanya, beliau melihat ramai golongan OKU mudah berputus asa tanpa mahu menggunakan anggota palsu malah enggan untuk duduk di atas kerusi roda.

“Saya turut berasa bosan kerana empat tahun terpaksa duduk di atas kerusi roda dan ia menyebabkan saya terpanggil untuk membantu golongan senasib dengan memberikan galakan dan motivasi kepada mereka.

“Malah saya turut berada dalam kumpulan WhatsApp untuk golongan OKU dan saya akan sentiasa berkongsi mengenai kehidupan serta pentingnya mempunyai pemikiran positif agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih bermakna,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau turut bersedia untuk dipanggil oleh mana-mana pihak untuk menjalankan kerja-kerja sukarelawan kerana sememangnya beliau merupakan seorang yang aktif sebelum menjadi OKU.

“Setelah menjadi OKU, saya turut terlibat dalam memberikan khidmat nasihat kepada golongan senasib agar mereka dapat dibimbing untuk menerima keadaan dan meneruskan kehidupan.

“Malah saya turut bergiat aktif dalam kerja sukarelawan di pelbagai institusi termasuk di hospital, namun sejak pandemik ini menular, aktiviti seumpama itu terpaksa dibatalkan,” katanya.

Menyentuh mengenai sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, Teresa berkata, beliau dan keluarga tidak menyambutnya seperti tahuntahun yang lalu.

“Keadaan pandemik ini menyebabkan kita semua perlu sentiasa berhati-hati dan menjaga kesihatan.

“Tiada persiapan, sebaliknya kami akan meneruskan sambutan tersebut secara ala kadar bersesuaian dengan situasi hari ini,” katanya.

Ujar Teresa lagi, beliau menyeru kepada semua pihak untuk sentiasa mengikuti arahan kerajaan dan meningkatkan disiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita terpaksa untuk berkurung di rumah dan jangan bersikap degil kerana ia akan menyebabkan wabak ini mudah merebak.

“Wabak ini hanya akan lenyap sekiranya semua pihak tidak berdegil dan mengikuti arahan kerajaan. Setelah ia tidak menular lagi, kita akan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas