Biz

Deposit SSPN lonjak tiga kali ganda sejak 2018

- Diterbit 10 Februari 2021 8:03 AM MYT

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan pencapaian cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut apabila deposit tahunan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melonjak tiga kali ganda sejak 2018.

PTPTN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah deposit SSPN bagi tahun lalu ialah RM1.99 bilion, sekali gus mencatatkan rekod baharu.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.58 peratus berbanding RM1.37 bilion pada tahun 2019.

“Jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul sehingga 31 Disember 2020 adalah RM7.88 bilion. Terimaan deposit berjumlah RM1.99 bilion bagi tahun 2020 ini merupakan 132.82 peratus berbanding sasaran tahun 2020 sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.

Bagi prestasi pembukaan akaun baharu SSPN pula, kata PTPTN, sebanyak 436,101 akaun dibuka pada tahun 2020 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun.

Ujarnya, pencapaian direkodkan adalah 109.03 peratus berbanding sasaran tahunan dan secara keseluruhan, sehingga 31 Disember 2020 sebanyak 4.82 juta akaun SSPN dibuka sejak instrumen simpanan itu diperkenalkan pada 2004.

“Keuntungan pelaburan terkumpul juga menunjukkan kenaikan bagi tahun 2020 kepada RM237.42 juta. Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 15.7 peratus berbanding RM205.28 juta pada tahun sebelumnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, kenyataan PTPTN turut memaklumkan, pihaknya memperbanyakkan saluran transaksi atas talian termasuk Direct Debit, e-Pay, FPX, JomPay, kiosk media, MOLPay, myPay dan PayQuik bagi memudahkan masyarakat menyimpan dalam SSPN.

Tambahnya, penerimaan masyarakat semakin baik dan ia dapat dilihat jelas apabila 66.39 peratus daripada jumlah deposit simpanan kini adalah melalui transaksi secara atas talian berbanding melalui transaksi di kaunter. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas