Berita

Berdosa langgar perintah ‘ulil amri’

SHEIKH ABDUL HALIM KADIR
- Diterbit 19 Mac 2020 12:41 PM MYT

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengingatkan, seseorang boleh jadi berdosa sekiranya melanggar perintah yang telah dikeluarkan oleh ‘ulil amri’ (pihak kerajaan) dalam usaha mengekang wabak Covid-19.

Justeru Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Kadir menggesa agar orang ramai menghormati arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa bermula 18 hingga 31 Mac ini.

“PUM mendokong teguh tindakan kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Wabak Covid-19 yang sedang melanda ini telah diisytiharkan sebagai pandemic oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang memberi maksud bahawa ia sesuatu yang sangat serius dan memberi ancaman kepada nyawa manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Abdul Halim berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat rayuan agar rakyat berbilang kaum di negara ini, tanpa mengira kefahaman agama dan kecenderungan politik, agar turut memainkan peranan dalam menyekat Covid-19 daripada terus merebak.

Katanya, Ketua Pengarah Kesihatan turut membuat rayuan yang sama agar semua pihak mengambil serius usaha ini.

Tempoh inkubasi adalah selama 14 hari bagi kita untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19, ujarnya.

Jelasnya, rakyat telah dinasihati supaya duduk di rumah, dan melaksanakan ‘social distancing’ dengan memastikan jarak selamat sekiranya perlu berada di luar.

Dalam hal ini, beliau berkata, penutupan rumah ibadat, masjid dan surau adalah untuk memastikan keselamatan semua tidak dikompromi.

“Bahkan ia selaras dengan pandangan para ulama’ muktabar dalam dan luar negara, sepertimana juga diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang telah bersidang pada 15 Mac lalu.

“Bagi masyarakat Islam, gunakanlah kesempatan ini untuk meneruskan solat berjemaah di rumah. Masjid dan surau hanya terhad kepada pegawai sahaja untuk meneruskan solat jemaah ketika perintah ini berjalan,” katanya.

Sheikh Abdul Halim menegaskan, mereka yang masih berdegil menyertai mana-mana perhimpunan keagamaan di dalam mahupun di luar negara ketika perintah ini dikeluarkan, perlu bertanggungjawab dengan melaksanakan self-quarantine dan melakukan saringan pemeriksaan kesihatan dengan segera.

“Jangan perjudikan kesihatan orang lain untuk terus berhimpun ketika Perintah Kawalan Pergerakan sedang berkuatkuasa.

“Akhir kata, marilah sama-sama kita meningkatkan amalan, bermuhasabah dan berdoa agar wabak Covid-19 dapat ditangani sebaiknya dan tidak terjadi gelombang ke-3 di dalam negara ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas