Berita

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dibatal

HADAPAN perkarangan bangunan Sultan Abdul Samad yang lengang dari orang ramai dan pelancong.
BANGUNAN Sultan Abdul Samad yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong kelihatan lengang ekoran Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 19 Mac 2020 1:40 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) membatalkan kempen Melawat Malaysia (TMM2020) sejajar dengan impak penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan di negara ini dan dunia secara amnya.

NANCY SHUKRI

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah tersebut turut melibatkan pembekuan semua perkhidmatan kaunter dan atas talian di Bahagian Pelesenan Pelancongan serta Pejabat Motac Negeri.

Beliau berkata, perkhidmatan itu melibatkan pelesenan pelancongan seperti pelesenan syarikat pengendali pelancongan, pemandu pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan pendaftaran penarafan Premis Penginapan Pelancongan, SPA dan Pusat Urutan Kaki (PUK) berkuatkuasa serta merta sehingga 31 Mac 2020.

“Kesemua premis penginapan pelancong dibenarkan untuk beroperasi secara minimum.

“Namun kesemua tetamu premis penginapan pelancong hendaklah berada di dalam bilik penginapan mengikut tempoh kuarantin berkenaan dan tempahan sajian hendaklah dibuat secara room service,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy berkata, proses pendaftaran tetamu (check-in) ke premis penginapan pelancong bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan adalah dibenarkan, tetapi dalam skala yang kecil dan diterhadkan.

“Bagi tetamu premis penginapan pelancong yang terpaksa memanjangkan tempoh penginapan sepanjang perintah ini berkuatkuasa, mereka bolehlah mendaftar masuk ke premis penginapan pelancongan yang bersesuaian dengan bajet masing-masing.

“Bgaimanapun, pelancong domestik baharu yang ingin mendaftar masuk ke premis penginapan pelancong adalah tidak dibenarkan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada orang ramai supaya mematuhi social distancing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa dan mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih.

“Marilah kita berdoa agar kesejahteraan negara tercinta ini dapat dikembalikan seperti sedia kala dengan secepatnya,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas