Selebriti

“Berbakat besar tapi bukan pilihan stesen TV” – Fadzil Teh

Fadzil Teh menganggap pengikut yang ramai di media antara faktor penting dalam mempromosikan sesebuah drama.
- Diterbit 8 Oktober 2021 11:56 PM MYT

SYARAT mahu jadi pelakon utama perlu ada sejuta pengikut di media sosial. Inilah persoalan yang kembali menjadi bualan ‘panas’ dalam kalangan penggiat seni.

Bagi Penerbit terkenal dari Zeel Production, Fadzil Teh, pemilihan pelakon yang mempunyai ramai pengikut di Instagram adalah sangat penting.

Menurut Fadzil atau lebih dikenali sebagai Haji Zeel, agak sukar baginya sebagai penerbit jika seseorang pelakon berbakat besar tetapi bukan menjadi pilihan stesen televisyen (TV).

“Sekarang ini artis terutamanya pelakon terlalu ramai. Kadang-kadang pihak stesen televisyen kurang mengenali mereka. Jadi berapa ramai pengikut di media sosial menjadi ukuran sejauh mana mereka dikenali.

“Maknanya semakin banyak pengikut, itu membawa maksud semakin ramai yang meminatinya.

“Sejujurnya saya tak faham, kenapa ada pihak mengaitkan apabila ramai pengikut, pelakon tersebut dianggap ‘kayu’. Setahu saya, ramai pelakon yang berbakat besar, dalam masa yang sama mempunyai ramai pengikut di media sosial.

“Kalau kurang pengalaman pun, peluang yang diberikan sedikit sebanyak akan memperbaiki kelemahan yang ada. Saya tidak rasa ia salah.

“Ini kerana pelakon-pelakon lama pun bermula daripada tidak ada apa-apa sehinggalah bakat mereka diasah melalui shooting.

“Saya juga pelik apabila ada sesetengah pelakon ‘berhaluan kiri’ yang terlalu mengagung-agungkan bakat. Apa boleh buat, berbkat besar tapi bukan menjadi pilihan stesen televisyen.

“Kebanyakan mereka berlakon filem yang tidak melibatkan stesen televisyen,” luah Haji Zeel yang mengganggap pengikut ramai antara elemen penting dalam mempromosikan sesebuah drama.

BAGI penerbit Zeel Production, Fadzil Teh menganggap pengikut yang ramai di media antara faktor penting dalam mempromosikan sesebuah drama.

Menurutnya, ramai pelakon baharu yang mempunyai pengikut ramai, mudah memberikan kerjasama.

“Saya setuju apabila ada pihak utamakan pelakon yang mempunyai pengikut ramai di media sosial. Bakat boleh digilap dan mereka senang dididik.

“Dalam masa yang sama, langkah promosi drama menjadi lebih senang kerana mereka mempunyai ramai pengikut. Bayangkan sekali upload di Instagram, ramai pengikut yang tahu tentang drama tersebut.

“Itu belum lagi dikira para penaja atau pengiklan yang mahukan pelakon yang mempunyai ramai pengikut kerana produk mereka sekaligus menjadi perhatian.

“Misalnya pelakon Sharifah Rose yang mempunyai ramai pengikut tetapi bakatnya kurang menyerlah pada awalnya. Namun, lama-kelamaan banyak yang dipelajarinya. Ini terbukti, pelakon yang banyak pengikut juga mampu menjadi lebih baik apabila diberi peluang,” ujarnya yang berharap pelakon lama sedar akan kepentingan media sosial dalam mendapatkan tawaran berlakon.

“Kepada pelakon-pelakon ‘berhaluan kiri’ ini, kena terima hakikat mempunyai pengikut yang ramai di media sosial adalah trend masa kini. Mahu atau tidak, trend perlu diikut jika tak mahu ketinggalan.

“Bakat sahaja tak cukup, pengikut dalam media sosial juga sangat penting apabila ia turut melibatkan rangka promosi dan penajaan.

“Tak payah tengok jauh, ramai menteri kita pun sangat pentingkan media sosial sehinggakan mereka mempunyai pasukan khas untuk menjaga media sosial mereka. Kenapa? Ini kerana media sosial adalah trend atau gaya hidup sekarang yang sudah menjadi keperluan,” jelasnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas