Berita

Bentuk bandar raya mampan

SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada program Retreat Kebun Kejiranan Bandar.
- Diterbit 12 Januari 2024 9:30 AM MYT

KEBUN Kejiranan Bandar adalah antara inisiatif terbaik yang dilaksanakan dalam usaha­ untuk mencapai Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya mampan.

Menerusi hantaran di laman Facebook Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL) berkata program kebun kejiranan itu wajar dilaksanakan selari dengan pelaksanaan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 (PIMRK KL 2030) dan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

“Program ini juga akan membantu mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) seperti SDG 1- No Poverty, SDG 2-Zero Hunger, SDG ­3 – Good Health and Well Being, SDG 11 Sustainable Cities and Communities serta SDG 13 – Climate Action.

“Paling utama adalah SDG 17- Partnerships For The Goals atau perkongsian ke arah matlamat di mana rakan kongsi LA21KL untuk mencapai sasaran projek ini.

“Melalui pendekatan dan pelaksanaan program berkonsepkan LA21KL, program ini menggalakkan tanah kebun diuruskan oleh satu badan entiti yang berpersatuan terutama persatuan penduduk yang melibatkan penghuni di sesebuah kawasan kejiranan hijau lebih bersistematik,” jelas hantaran tersebut.

Jelasnya, ia akan dilaksanakan berasaskan perkongsian dan kerjasama dalam usaha mewujudkan gerakan komuniti pertanian bandar melalui pengurusan kebun komuniti yang mendatangkan hasil berekonomi dan pintar.

Terdahulu, satu program Retreat Kebun Kejiranan Bandar Sesi 2024-2026 telah diadakan selama tiga hari pada 5 hingga 7 Januari dengan melibatkan beberapa wakil komuniti, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan swasta.

Ia disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) merangkap Ketua Penyelaras Kl Bersih dan Indah LA21KL, Ismadi Sakirin dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan DBKL yang berkaitan.

Retreat tersebut diadakan sebagai usaha bersama dalam menjayakan pelaksanaan Program Kebun Kejiranan Baandar untuk tempoh tiga tahun akan datang selain ia juga menekankan penglibatan tiga pihak iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi kerajaan, masyarakat dan sektor swasta bekerjasama merancang dan menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup lebih baik. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas