Berita

Bengkel Suri Putrajaya 2023 bantu jana pendapatan

PESERTA bengkel tekun mempelajari seni jahitan. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 Januari 2023 4:50 AM MYT

DALAM usaha membantu suri rumah menjana pendapatan, Bahagian Perkhidmatan Komuniti & Sukan, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya (PPj) bakal menganjurkan Bengkel Suri Putrajaya 2023 Siri 1: Kelas Jahitan pada 25 dan 26 Februari ini.

Menurut guru jahitan, Zunaini Ismail, penyertaan peserta mendapat sambutan menggalakkan yang mana rata-ratanya terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan tidak terkecuali juga golongan remaja.

“Kita sangat mengalu-alukan penyertaan terutamanya daripada mereka yang tidak bekerja sekurang-kurangnya ia akan membantu peserta meraih pendapatan lebih-lebih lagi di saat ekonomi yang tidak menentu ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bercerita lanjut tentang bengkel jahitan, Zunaini berkata dua modul yang akan diajar kali ini adalah tunic muslimah dan palazo yang merupakan antara modul paling mendapat permintaan ramai.

“Kita sendiri tahu ketika ini tunic dan palazo merupakan fesyen yang mendapat perhatian selain ia lebih selesa dan mudah digayakan di mana-mana sahaja. Jadi, modul kita berdasarkan apa yang pelanggan mahukan,” ujarnya.

Kongsinya lagi, kebanyakan peserta yang pernah mengikuti bengkel jahitan pada siri sebelum ini telah pun berjaya bergelar tukang jahit dan ada yang telah membuka kedai jahitan sendiri.

“Fokus kita adalah untuk membantu mereka. Jadi apabila dapat lihat peserta sebelum ini berjaya, saya tumpang gembira kerana kesungguhan tersebut akhirnya membuahkan hasil sekali gus mereka dapat membantu keluarga,” ujarnya lagi.

Zunaini yang juga pemilik Pusat Jahitan Seni Reka Cemerlang berharap agar setiap peserta meletakkan matlamat yang jelas untuk mengikuti bengkel jahitan yang bakal berlangsung di Bilik Serbaguna, Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.

“Diharapkan setelah mengikuti bengkel ini, mereka ada keyakinan untuk mengambil tempahan pelanggan. Mungkin boleh bermula daripada kaum keluarga terlebih dahulu. Dari situ secara tidak langsung akan menimbulkan keberanian,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas