Berita

Ringankan beban kos perubatan ibu, Anak sebak terima Bantuan Khas YWP

SITI Zuraini (kiri) ketika menerima bantuan daripada wakil YWP di rumahnya baru-baru ini.
- Diterbit 20 Januari 2023 4:09 AM MYT

“TERIMA kasih Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) meringankan beban yang ditanggung ibu bapa saya,” ujar Siti Zuraini Abd Azad yang merupakan anak kepada penerima sumbangan Bantuan Khas YWP berupa wang tunai baru-baru ini.

Bersyukur dengan bantuan yang diterima, dia kini mengakui terpaksa berhenti kerja kerana perlu
menjaga ibunya yang sedang terlantar sakit di rumah serta memerlukan sepenuh perhatian.

“Kaki kanan ibu telah dipotong sehingga lutut kerana menghidap penyakit kencing manis. Disebabkan
saya sudah tidak berkerja, jadi adik-beradik yang lain terpaksa menanggung kos perbelanjaan perubatan dan barangan asas lain.

“Ibu juga perlu minum susu khas dan harganya juga agak mahal. Namun kami sentiasa berusaha bagi memastikan ibu kembali sihat,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada Pengerusi Majlis Perwakilan
Penduduk (MPP) Batu, Ghulam Muszaffar Ghulam Mustakim yang menghubungkan mereka dengan
YWP.

Selain menerima Bantuan Khas YWP secara one-off, Siti Zuraini berkata ibunya turut menerima bantuan berupa susu dan lampin pakai buang pada setiap bulan dari Baitulmal Wilayah Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, saya sedang memohon agar Baitulmal menukar bentuk bantuan tersebut kepada wang tunai kerana susu yang diberikan tidak lagi sesuai digunakan dan saya perlu membeli susu lain,” ujarnya kepada Wilayahku.

Berkongsi lanjut tentang kisah kedua ibu dan bapanya, dia bagaimanapun tidak mampu menahan kesedihan apabila bapanya, Abd Azad A.Aminullah tidak sempat menerima sumbangan dari
YWP kerana telah meninggal dunia baru-baru ini.

“Sebenarnya bantuan ini diminta oleh arwah ayah kerana pada ketika itu dia perlu menggunakan oksigen dan mendapatkan rawatan daripada para medik setiap hari di rumah. Jadi, memang memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Ayah menghidap pelbagai penyakit antaranya strok, kencing manis, darah tinggi dan jangkitan
paru-paru tetapi saya percaya kalau ayah masih ada dia pasti gembira kerana permohonannya berjaya,”
ujarnya sebak.

Terdahulu, Siti Zuraini mewakili ibunya menerima sumbangan berupa wang tunai dari YWP di
rumahnya yang terletak di Jalan Kepong Lama, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas