Artikel

Seni untuk siapa?

SENI untuk siapa? - Gambar hiasan
- Diterbit 13 Julai 2020 7:17 AM MYT

APABILA wujud kembali perbahasan seni itu untuk siapa, sama ada “seni untuk masyarakat” atau “seni untuk seni”, ia adalah perkara yang membingungkan.

Sebenarnya persoalan ini sudah berada di luar landasan. Seni untuk siapa itu sebenarnya tidak patut menjadi sebuah soalan. Ia soalan yang sepatutnya tidak perlu dipertanyakan lagi.

Perbahasan seperti ini tidak sepatutnya wujud jika kita berakal sihat, waras dan memiliki mantik yang betul. Ia seperti soalan: makan untuk apa? Bagaimanakah untuk menjawabnya jika semua orang sudah tahu jawapannya.

Ia boleh dijawab, iaitu untuk kenyang, menghilangkan kelaparan dan sebagainya. Semuanya betul, asalkan jawapannya bukan “makan untuk makan”. Tetapi, apakah faedahnya persoalan yang semua orang sudah mempunyai jawapannya.

Begitu juga karya sastera, ia untuk masyarakat. Mesti ada tujuannya, walaupun tujuannya
buruk.

Walaupun persoalan lapuk, bukan bermakna ia sesuatu yang tidak perlu diperbincangkan lagi. Dunia mengulangi perkara yang sama. Jadi, tidak timbul isu ini perlu ditamatkan atas alasan ia perkara yang sudah lama dibahaskan.

Jika ia sebuah soalan, ia adalah soalan yang keliru. Kerana ia soalan yang keliru, maka bagi yang keliru, mereka akan memberikan jawapan yang juga mengelirukan. Sepatutnya, soalan itu perlu diperbetulkan. Dalam konteks ini, polemik itu perlu diperbetulkan dan bukannya mencari hujah untuk membenarkan atau memilih salah satu jawapan tersebut.

Maknanya, sastera itu mempunyai sasarannya, iaitu masyarakat. Ia bukan sebuah catatan diari, walaupun ada diari yang menjadi karya seni. Ia tidak ditulis untuk simpanan peribadi.
Ia untuk masyarakat.

Jadi, seni untuk seni itu pula apa maksudnya? Ia tidak ada maksudnya, melainkan kegiatan
seni sekadar seni, yang tidak mempunyai tujuan, selain seni. Tujuannya adalah seni.

Seni hanyalah alat atau kaedah dan ia bukanlah tujuan. Menulis untuk seni. Mengikut logiknya, ia seperti dunia untuk dunia. Tidak ada tujuan lain. Ia pernyataan yang tidak dapat difahami.

Seni, ambil contoh seni penulisan sastera, termasuk puisi, cerpen dan novel, tentulah
semuanya untuk masyarakat. Sebenarnya, persoalan ini tidak perlu wujud kerana ia sudah
jelas. Tetapi kekeliruan berfikir sebahagian orang membuatkan ia dibahas berulangkali.

Ambil contoh lain pula, iaitu bercakap. Apabila kita bercakap, tentulah kita mahu
menyampaikan sesuatu makna. Ia bukan sekadar bercakap tanpa tujuan. Untuk menarik
perhatian, kita menggunakan bahasa yang mudah, tajam dan berkesan. Bagaimana ia
sepatutnya diciptakan, bukanlah persoalannya, ia bergantung kepada kreativiti seseorang itu. Tetapi, maksud kita bercakap tetaplah untuk menyampaikan sesuatu. Seniman bukan orang gila yang membebel tidak ketahuan.

Kreativiti dan kemahiran bercakap/menulis itulah seninya.

Apa pula seni untuk seni. Adakah ia dimaksudkan dengan karya-karya aneh, tidak dapat difahami dan cerita-cerita yang aneh? Seni itu sendiri bermaksud sesuatu yang halus. Dalam bahasa yang lain, ia bermaksud hikmah. Ia bagaimana kita mahu bertindak dengan bijaksana, menyampaikan maksud kita dengan halus (seni) supaya ia diterima oleh khalayak.

Sama ada kita mahu membuat orang ketawa, berfikir, marah, terhasut dan sebagainya, ia ada seninya. Sebaliknya hari ini, mungkin kerana berpegang dengan seni untuk seni, ramai
penulis berfikir bahawa seni itu karangan yang aneh bahasanya, cerita-cerita yang abnormal, dan sulit difahami.

Jadi, tidak peliklah jika seni sastera tidak lagi difahami dan dijauhi masyarakat. Salah satu contoh seni terbaik adalah propaganda, iaitu seni mempengaruhi atau memandu masyarakat ke arah satu tujuan.

Untuk memudahkan lagi, ambil contoh iklan komersial. Iklan antara kaedah seni yang terbaik dan berkesan. Lihat bagaimana ia dicipta dalam menarik perhatian masyarakat untuk mendapatkan produk yang diklankan. Tujuannya untuk melariskan sesuatu produk, walau bagaimanapun iklan itu digubah.

Kekeliruan-kekeliruan ini sebenarnya diteruskan oleh pemikiran-pemikiran neo-sophis yang berhujah tanpa makna, hanya permainan kata-kata, kerana sudah jelas seni itu adalah untuk masyarakat.

Jelasnya, kita bukan sahaja dilarang bercakap perkara yang buruk, malah kita dilarang bercakap perkara yang tidak bermanfaat. Adalah sesuatu yang sia-sia apabila kita bercakap
(menulis) sesuatu yang tidak mempunyai tujuan, melainkan menggunakan lesen seni untuk
seni yang kita tidak jelas apa maksudnya.

Jadi, apabila ada penulis yang melaungkan seni untuk seni, ia sebenarnya bercakap sesuatu
yang ia sendiri tidak fahami apa maksudnya.

Sebagai contoh, jika anda tidak memahami maksud tulisan ini, ia adalah kerana kegagalan saya menulisnya, dan bukannya ia tidak memiliki tujuan atau maksud. Ini adalah berbeza dengan golongan yang menulis hanyalah untuk seni tanpa memikirkan tujuannya kepada khalayak.

Oleh AZMAN HUSSIN
Penerima Anugerah Sastera Perdana Malaysia 1998/1999

* Pandangan ini tidak semestinya mewakili akhbar Wilayahku
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas