Wang Ehsan disalurkan terus kepada Kelantan

Wang Ehsan disalurkan terus kepada Kelantan

PUTRAJAYA – Wang Ehsan disalurkan terus kepada Kerajaan Kelantan dan bukan menerusi entiti Kerajaan Persekutuan seperti yang diamalkan sebelum peralihan kuasa pada 9 Mei tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan memaklumkan, sebelum ini, pembayaran Wang Ehsan diberikan secara tahunan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan sebuah entiti Kerajaan Persekutuan secara nisbah 50:50.

Jelas beliau, selepas peralihan kuasa, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk membuat bayaran Wang Ehsan sebanyak 50 peratus terus kepada Kerajaan Kelantan.

Tegasnya lagi, buat pertama kalinya mulai tahun ini, Kerajaan Persekutuan menyalurkan Wanh Ehsan kepada Kerajaan Kelantan dengan bayaran terkini pada September lalu.

“Bayaran juga telah diawalkan kepada bulan September tahun ini sedangkan pembayaran dijadualkan pada Januari 2020.

“Justeru, amat dikesali apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan kebencian dan memainkan sentimen dengan melontarkan fitnah bahawa saya cuba menghalang pembayaran dilakukan walaupun pada hakikatnya pembayaran dibuat atas arahan Perdana Menteri,” katanya.

Guan Eng turut menyatakan bahawa Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah mengesahkan bayaran Wang Ehsan sebanyak RM15.75 juta telah disalurkan kepada Kerajaan Kelantan pada 18 September.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, bagi mengelakkan tindakan perundangan, Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran dalam bentuk Wang Ehsan kepada Kerajaan Kelantan dan perkiraannya adalah berasaskan lima peratus daripada hasil petroleum bagi menentukan bayaran tersebut kepada negeri berkenaan.

“Sukar difahami bagaimana kerajaan terbabit menganggap pemerintah sebelum ini yang tidak menyalurkan Wang Ehsan kepada mereka sebagai rakan setia sebaliknya menyifatkan kerajaan Persekutuan pada masa ini sebagai musuh ketat,” ujarnya.

Guan Eng sekali lagi menegaskan, komitmen untuk membantu Kerajaan Kelantan telah dilaksanakan sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cemuhan dan fitnah.

Di samping itu, katanya, Kerajaan Persekutuan terus komited untuk membantu negeri-negeri yang menghadapi masalah kewangan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Wang Ehsan, isu petroleum dan Petronas bukan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan sebaliknya di bawah seliaan penuh Perdana Menteri. – WILAYAHKU

CATEGORIES