Artikel

Belanjawan 2022 Pendidikan berkualiti untuk semua

- Diterbit 15 November 2021 9:40 AM MYT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) menyambut baik dan amat berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara terutama dalam menyalurkan dana bagi mempergiat aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Dalam Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM14.5 bilion, meliputi Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM11.5 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM3 bilion. Sesungguhnya, peruntukan ini dapat membantu KPT dan agensi di bawah KPT bagi melaksanakan program-program pembangunan pendidikan tinggi dan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Terdapat 15 inisiatif bajet yang telah dibentangkan dalam usaha membantu graduan dan KPT seperti yang berikut:

  • Peranti Siswa Keluarga Malaysia, iaitu membekalkan sebuah tablet kepada setiap
    pelajar B40 di institusi pengajian tinggi. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 600 ribu mahasiswa daripada keluarga B40 melalui peruntukan sebanyak RM450 juta;
  • Pemerkasaan bidang TVET dengan peruntukan sebanyak RM6.6 bilion yang turut memanfaatkan pelbagai kementerian dan agensi. Di samping itu,
    tambahan RM200 juta turut diperuntukkan bagi program usaha sama dengan industri;
  • Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 akan memberikan manfaat kepada 1.67 juta peminjam PTPTN seperti yang berikut:
    – Diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
    – Diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
    – Diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.
  • Pelanjutan pemotongan cukai dua kali kepada syarikat yang menawarkan biasiswa kepada pelajar institusi pendidikan tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian;
  • Memperkenalkan Program e-Start, iaitu pemberian kredit RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet belia berumur 18-20 tahun termasuk pelajar sepenuh masa di IPT. Program ini melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta dan dijangka memberikan manfaat kepada lebih 2 juta belia bagi tujuan pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran;
  • Sejumlah RM6.6 bilion disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma selain melahirkan profesional dalam
    kalangan bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan di bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju;
  • Galakan kepada pihak swasta untuk melaksanakan inisiatif pembayaran elaun
    sebanyak 900 ringgit kepada pelajar yang
    menjalani program latihan industri;
  • Pelanjutan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat
    Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2;
  • Menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan;
  • Peruntukan RM423 juta di bawah MOSTI dan KPT bagi mempergiat aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) selari dengan perkembangan sains dan teknologi. Peruntukan termasuk RM295 juta kepada universiti awam untuk berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri;
  • Memperluas perkhidmatan Klinik Bergerak kepada Hospital Pengajar Universiti sebagai usaha menambah akses saringan dan pendidikan kesihatan di kawasan-kawasan tumpuan;
  • Program Pemulihan Dalam Komuniti yang dipelopori Universiti Sains Malaysia (USM) akan diperluaskan pelaksanaannya ke universiti- universiti awam lain bermula tahun hadapan;
  • Peningkatan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam sebanyak RM4 bilion untuk pelaksanaan program vaksinasi dan agenda menangani COVID-19 yang turut melibatkan hospital pengajar universiti;
  • Penyediaan kemudahan taska di universiti awam sebagai sokongan bagi kaum ibu berkerjaya; dan
  • Memperuntukkan RM2.9 bilion bagi melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana merangkumi projek selenggara jalan, baik pulih infrastruktur dan peralatan usang universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
  • KPT komited untuk membantu Kerajaan dalam agenda pemulihan, pembinaan semula daya ketahanan negara menerusi agenda pendidikan tinggi. Peruntukan yang diluluskan bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada pemegang taruh KPT, malah akan turut dinikmati oleh komuniti dan masyarakat, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas