Artikel

Hospitality Lab tawar program pembelajaran sepanjang hayat

- Diterbit 15 November 2021 9:19 AM MYT

MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah merasmikan Hospitality Lab Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi (LTA@KKLK) sempena lawatan kerja ke Langkawi baru-baru ini.

Dr Noraini Ahmad berkata, Hospitality Lab di LTA@KKLK ini merupakan gabungan bilik latihan dan simulasi bagi bidang hospitaliti dan pelancongan yang direka khas berkonsepkan operasi sebenar industri hotel mengikut standard industri perhotelan semasa.

“Matlamat utama penubuhan Hospitality Lab adalah untuk mendedahkan pelajar kepada keadaan sebenar ketika berada di industri kelak. Dengan perkembangan globalisasi dan pelaksanaan norma baharu, Hospitality Lab ini dilengkapi dengan peralatan-peralatan teknologi terkini mengikut standard hotel bertaraf 5 bintang,” katanya.

Tambah beliau, Hospitality Lab ini bukan sahaja digunakan untuk kegunaan proses pengajaran dan pembelajaran, malah turut digunakan dalam penganjuran kursus pendek dan latihan khas kepada komuniti dan organisasi melalui program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Dalam sesi lawatan kerja ini, beliau turut menyempurnakan upacara Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Asrama Pelajar, Kafeteria dan kemudahan-kemudahan lain di LTA@KKLK.

Projek ini dibangunkan dengan menggunakan konsep penginapan yang lebih santai dan moden bagi membolehkan pelajar tinggal di dalam kampus dengan keadaan yang lebih selesa.

Menurut beliau, pembinaan ini selaras dengan visi yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pelancongan Langkawi untuk menjadikan LTA@KKLK sebagai sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf dunia, yang bukan sahaja menawarkan program pengajian pelancongan yang berkualiti tinggi tetapi juga memiliki prasarana yang lengkap serta kondusif untuk pembelajaran dan pengajaran.

“Skop projek melibatkan pembinaan asrama yang boleh memuatkan180 orang pelajar lengkap dengan dua unit rumah warden dan kemudahan asas (rekreasi dan sosial), bina semula kafeteria untuk kapasiti 50 orang pelajar dan pembinaan surau yang melibatkan kapasiti 100 orang pelajar pada satu-satu masa. Projek ini dijangka siap pada Oktober2 023,” ujarnya.

Selain itu, YB Menteri turut menyerahkan Kit Pertandingan World Skills Shanghai 2022 Bidang Restaurant Service kepada Saudara Dhineshwaran a/l Jayakumar, pelajar LTA@KKLK yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, YBrs Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs Ts Zainab Ahmad, Pengarah LTA@KKLK, Puan Haslinda Abd Hamid serta Pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas