Berita

Sila lapor polis jika ada pihak tidak patuh SOP Aidilfitri

SUPERINTENDAN MUHAMMAD FARID AHMAD
- Diterbit 18 Mei 2020 1:16 PM MYT

LABUAN – Polis Labuan meminta penduduk membuat laporan di balai polis berhampiran jika melihat lebih 20 individu berkumpul di sesebuah rumah pada hari pertama Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, walaupun tidak ada sekatan jalan raya semasa hari raya, pemantauan ketat akan dilakukan untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

JEMAAH perlu diambil bacaan suhu badan sebelum dibenar masuk ke dalam masjid.
JEMAAH mengamalkan penjarakan sosial ketika di masjid.

“Pihak PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak melanggar SOP pada hari pertama perayaan Aidilfitri.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar had 20 pengunjung untuk satu rumah,” katanya.

Farid juga mengingatkan mereka yang ingin menunaikan solat Jumaat, solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri agar mematuhi sepenuhnya SOP penjarakan sosial.

“Sejak 4 Mei, kami mempunyai 16 pasukan peronda untuk memantau pergerakan orang ramai dalam mematuhi penjarakan sosial, di premis perniagaan atau tempat ibadah.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 12 masjid dan lapan surau di Labuan dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat berjemaah tidak kurang daripada tiga orang dan tidak lebih 30 orang terdiri daripada pegawai dan petugas masjid, serta jemaah lain yang ditentukan oleh pentadbiran masjid.

Jumaat lalu, Masjid Sultan Muhammad V Labuan telah memutuskan hanya anggota jawatankuasa, pegawai dan petugas masjid serta pihak media yang tidak melebihi 30 orang dibenarkan menunaikan solat berjemaah pada satu-satu masa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas