Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Beberapa insiden keselamatan tiada kaitan antara satu sama lain – Saifuddin

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 23 Mei 2024 3:19 PM MYT

BEBERAPA insiden melibatkan keselamatan institusi penting negara dan yang berkaitan ancaman yang diterima Ahli Parlimen baru-baru ini tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Yang ditahan di Istana Negara (misalnya), dia bermimpi (ada) yang memerintahkan beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, di Balai Polis Dato’ Keramat di Pulau Pinang pula (suspek) mabuk, jadi tidak sama. Di Ulu Tiram (suspek) dia bertindak yang kita istilahkan sebagai  ‘Lone Wolf,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, bagi mengulas beberapa insiden menggemparkan negara yang berkaitan dengan keselamatan sejak minggu lepas.

Ia merujuk kepada kepada insiden serangan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi 17 Mei lepas yang menyaksikan dua konstable polis dan seorang suspek maut, serta penahanan dua lelaki yang cuba menceroboh Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari yang sama, dengan sebilah parang ditemukan dalam kenderaan mereka.

Pada Sabtu pula polis menerima laporan daripada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh, dan Ahad pula seorang lelaki berumur 35 tahun ditahan selepas dia cuba merampas senjata api milik anggota polis di Balai Polis Dato’ Keramat di Pulau Pinang.

Mengulas perkembangan kes di Balai Polis Ulu Tiram, Saifuddin Nasution berkata siasatan polis kini  tertumpu terhadap elemen ‘penghasut’ berikutan penemuan bahawa keluarga suspek menganggap orang lain sebagai ‘kafir’ selain suspek tidak bercampur dengan masyarakat.

“(PDRM) bukan hanya fokus ‘perpetrator’ (pelaku) tetapi kita juga nak fokus kepada ‘purveyor’ (penghasut).. Berilah peluang kepada polis untuk perhalusi proses siasatan,” katanya.

Semalam polis telah membebaskan tanpa syarat dua pelajar yang ditahan susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu, bagaimanapun siasatan terhadap lima anggota keluarga suspek yang direman sehingga esok masih diteruskan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas