Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Sebanyak 1,000 syarikat projek rintis Dasar Gaji Progresif bermula Jun ini

- Diterbit 23 Mei 2024 3:16 PM MYT

PELAKSANAAN Dasar Gaji Progresif bakal dimulakan dengan projek rintis pada Jun depan melibatkan sebanyak 1,000 syarikat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata ia dalah usaha kerajaan untuk memastikan gaji rakyat tinggi selari dengan peningkatan produktivit selain tumpuan untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi.

“Bagi projek rintis ini, penyertaan dibuka kepada lima sektor iaitu sektor Pembuatan, Pembinaan, Perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, Maklumat dan komunikasi serta Aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

“Pemilihan syarikat bagi projek rintis ini akan melalui proses yang menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor serta kesaksamaan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut Rafizi, penilaian projek rintis akan dilaksanakan pada September ini untuk memastikan ketersediaan dasar sebelum Dasar Gaji Progresif secara menyeluruh dilaksanakan kepada semua majikan dan ekonomi.

“Majikan boleh menuntut insentif tunai daripada kerajaan sekiranya memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.

“Syarikat yang terpilih akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja peringkat permulaan (entry level) dan maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja bukan peringkat permulaan (non-entry level),” ujarnya.

Jelas Rafizi, setiap pekerja yang berdaftar di bawah Dasar Gaji Progresif perlu menjalani kursus atau latihan peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya selama tiga hari atau 21 jam.

“Kepada majikan yang ingin mengetahui maklumat lanjut termasuk garis panduan penuh pelaksanaan dan latihan boleh didapati di laman web https://gajiprogresif.gov.my/,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Perutusan Negara memaklumkan kerajaan serius menggubal Dasar Gaji Progresif membabitkan sektor swasta bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Kertas Putih cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan di Parlimen 30 November lalu, antara lain menjadi strategi kerajaan meningkatkan gaji penengah pekerja, sekali gus meningkatkan kadar bahagian pampasan pekerja (CE) dalam tempoh berbaki RMK-12 serta 10 tahun akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas