Berita

Bebas kenderaan di Kuala Lumpur diaktifkan semula 7 November lalu – DBKL

ANTARA program yang terlibat adalah aktiviti berjalan, berlari meluncur atau berbasikal selama dua jam mulai 7 pagi hingga 9 pagi. ANTARA program yang terlibat adalah aktiviti berjalan, berlari meluncur atau
- Diterbit 13 November 2021 1:30 AM MYT

PROGRAM Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 akan diaktifkan semula bermula Ahad lalu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan sebagai permulaan, program dwi mingguan itu akan dijadikan program simulasi sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mereka yang ingin menyertai program ini perlu lengkap vaksin (dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh 14 hari) dan wajib membuat pra pendaftaran.

“Peraturan kesihatan dan keselamatan yang diarahkan oleh MKN akan dilaksanakan secara ketat dalam melaksanakan program ini demi keselamatan peserta,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan program simulasi yang akan diadakan pada November dan Disember ini akan menggunakan laluan sepanjang tujuh kilometer di sekitar ibu kota.

Jalan-jalan yang terbabit dalam program itu adalah Jalan Raja, Jalan P Ramlee, Jalan Dang Wangi dan sebahagian Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“KLCFM adalah program yang dapat mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan warga kota di samping medan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, mesra keluarga dan membudayakan penjagaan alam sekitar.

“Ia membabitkan aktiviti berjalan, berlari, meluncur atau berbasikal selama dua jam mulai 7 pagi hingga 9 pagi dan sepanjang tempoh itu, jalan-jalan yang terbabit akan ditutup kepada kenderaan awam dan persendirian,” katanya.

DBKL menjangkakan KLCFM akan dapat dilaksanakan secara penuh pada Januari depan dengan pelbagai acara sampingan lain dan penyertaan daripada lebih ramai
penaja.

Mereka yang ingin menyertai KLCFM perlu membuat prapendaftaran terlebih dahulu menerusi laman sesawang KL Car Free Morning dan DBKL serta laman Facebook KL Car Free Morning dan DBKL yang telah dibuka sejak 2 November lepas. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas