Berita

Beautiful Malaysia di LAMPU 2019

FESTIVAl LAMPU 2019 menjanjikan persembahan yang memukau kepada pengunjung.
- Diterbit 27 Disember 2019 4:24 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Berkonsepkan ‘Kepelbagaian Budaya dan Etnik’, penganjuran Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 selama empat hari bermula 28 Disember ini pastinya menjanjikan persembahan pencahayaan yang unik kepada pengunjung.

Lebih mengujakan apabila terdapat le­bih 10 struktur binaan yang dilengkapi hiasan lampu berwarna-warni disediakan kepada pengunjung di sepanjang Persiaran Perdana (Putrajaya Boulevard) di samping beberapa elemen kepelbagaian kaum selaras dengan tema penganjuran­nya.

AMINUDDIN

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, penganjuran edisi ketujuh tahun ini juga lebih bermakna kerana pemetaan cahaya adalah bertemakan ‘Beautiful Malaysia’ yang menceritakan pembangunan negara dari era awal kemerdekaan hingga kini.

“Berbeza dengan tahun lepas yang lebih geomatrik, tahun ini kita paparkan sejarah Malaysia. Sesiapa yang lihat akan menghargainya.

“Tahun lepas hanya untuk tarik perhatian pengunjung tetapi kali ini akan ada beberapa ‘story-line’ seperti Parameswara Melaka, Thomas Cup, Proton Saga dan banyak lagi. Kita akan guna ‘layar’ terbesar iaitu Istana Kehakiman,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Aminuddin memberitahu, festival LAMPU tahun ini mengetengahkan kepelbagaian kaum di Malaysia antaranya ‘Chinese Street’, ‘Little India’ serta rumah tradisional Melayu yang dilengkapi beberapa komponen seperti beranda, reban ayam, sawah padi dan panjut.

Selain itu, ujar beliau, festival selama empat hari nanti akan dirancakkan dengan kewujudan Planetarium yang memaparkan penceritaan tentang pembangunan Malaysia secara 360 darjah.

TEKNIK projektor maping akan digunakan dan dipancarkan ke bangunan dinding Istana Kehakiman.

Ekoran kelainan dan keunikan yang direncanakan pada LAMPU tahun ini, beliau menyasarkan 1.5 juta pengunjung hadir sepanjang tempoh empat hari festival itu.

Aktiviti

Sementara itu, Naib Presiden Perancangan Bandar PPJ, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud memberitahu, 10 struktur binaan di sepanjang Persiaran Perdana adalah berkonsepkan muzik yang digunakan masyarakat setempat di negara ini seperti kuda kepang dan gendang bagra.

“Terdapat 22 program termasuk toy zone, persembahan jalanan dan buskers. Kelainan kali ini adalah kita akan berhenti selepas setiap ‘maping’ dan pengunjung dibawa ke perkampungan Melayu, Chinese Street atau Little India untuk lihat persembahan seperti tarian naga atau gendang bagra atau pertunjukan silat dan kompang serta zapin.

“Untuk ‘maping’ sendiri, kita bagi elemen suspen kepada pengunjung. Kita juga ada pemetaan cahaya berkaitan dengan kejayaan negara termasuk bola sepak, keindahan keunikan semula jadi, pemakanan dan perayaan-perayaan. Setiap segmen pula mengambil masa lima hingga tujuh minit dan bermula pada pukul 9 malam.

“Pada akhir malam LAMPU iaitu 31 Disember, kita ada ‘countdown’ tahun baru. Berbeza sikit tahun ini kerana kita akan sambut Jubli Perak pada 2020, jadi akan ada e­lemen-elemen yang istimewa untuk pengunjung, satu daripadanya adalah masa untuk bunga api dipanjangkan sikit selain ada kepelbagaian bunga api dan digital ‘firework’,” jelasnya.

Menurut Fadlun, bagi memberi kesan lebih mengujakan, kualiti pemetaan cahaya menggunakan teknikal projektor dipertingkatkan supaya gambar lebih cerah dan memuaskan.

Bagi kemudahan pula, tambah beliau, kira-kira 12,000 petak parkir percuma disediakan di sepanjang Presint 2 hingga Presint 6 dan bagi yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pula, bas henti-henti percuma turut disediakan.

AMINUDDIN (dua dari kiri) dan Fadlun (dua dari kanan) menunjukkan poster LAMPU 2019.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas