Berita

Keunikan Malaysia di Ambang 2020

PERSEMBAHAN tarian tradisional berwajahkan budaya Malaysia bakal
- Diterbit 27 Disember 2019 4:34 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) akan menganjurkan Program Ambang 2020@Kuala Lumpur pada 31 Disember ini bermula pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah malam di Dataran Merdeka di sini.

Program anjuran bersama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

SARAYA

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MoTAC, Saraya Arbi berkata, Ambang 2020@Kuala Lumpur merupakan acara khusus menjelang tahun baharu.

Jelas beliau, gabungan beberapa komponen acara dimulakan dengan perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2019 dan Majlis Pelancaran Video Kempen Nilai-Nilai Murni diikuti persembahan Extravaganza Malaysia Time Capsule oleh Istana Budaya.

“Light Show in the Sky akan menjadi pertunjukan istimewa dan kemuncak bagi kempen Melawat Malaysia 2020 dalam tempoh 10 minit dengan 11 formasi istimewa yang menggambarkan keunikan dan keistimewaan Malaysia di ambang 2020 kelak.

“Ia merupakan inisiatif kerajaan dalam memupuk perpaduan dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum selain menyemarakkan pelancongan negara serta mengetengahkan tradisi menyambut perayaan seperti Krismas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Saraya, program berkenaan juga bertujuan menyemarakkan kempen nilai-nilai murni sebagai wadah pelancongan, seni dan budaya.

Ujar beliau, diharapkan kedatangan 30 juta pelancong asing ke negara ini dapat meningkatkan perbelanjaan sebanyak RM100 bilion sepanjang tahun hadapan.

Pada Ambang 2020 @ Kuala Lumpur nanti, pengunjung yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan berkonsep ‘Pentas Kontena’ yang diacarakan Datuk AC. Mizal.

Terdapat 20 band yang akan memeriahkan pentas seperti Wings (Awie), Hujan, Masdo, Santesh, Ismail Izzani, Sarah Suhairi, Nabila Razali, Andy Bernadee, Fuying dan Sam, Bunkface, Ella dan Pop Shuvit.

Konsert itu juga akan dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Jefrydin (Pop Yeh Yeh), Elvira Mentor (Oldies), Asmidar (Irama Malaysia), Siti Nordiana (Pop Balada) dan Han byul (Korea).

Selain itu, terdapat juga persembahan ‘flashmob’ di Avenue K, Jalan Ampang dan perkarangan Pavilion, Bukit Bintang pada 27 dan 28 Disember 2019.

Program awalan khalayak pada 31 Disember ini dirancakkan dengan acara interaktif seperti pameran, demonstrasi, permainan kembara budaya, interaktif masakan warisan serta persembahan sisipan kesenian dengan penglibatan pengunjung tempatan dan luar bermula pukul 10 pagi.

Bagi melancarkan pergerakan, pengunjung disarankan agar menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana sepanjang program berlangsung, jalan-jalan utama di ibu kota akan ditutup.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas