Berita

Skuad luar tiada kuasa tangkap PATI

KUALA LUMPUR sentiasa dipenuhi warga asing terutama pada cuti hujung minggu. -Gambar hiasan
- Diterbit 26 Disember 2019 1:27 PM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

KUALA LUMPUR – Tidak ada mana-mana pertubuhan atau skuad luar yang berkuasa untuk memburu dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sebaliknya kuasa tersebut terhad kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sahaja.

Tegasnya, orang ramai dan setiap pertubuhan juga perlu mematuhi undang-undang serta tidak menggunakan kuasa sendiri.

“JIM sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI termasuk pelancong asing yang tinggal lebih masa di negara ini.

“Orang ramai boleh membantu kami dengan menyalurkan maklumat yang tepat tentang PATI supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang menawarkan 1,000 sukarelawan kepada pihak Jabatan Imigresen dan polis untuk membantu memburu pendatang haram.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, setiap PATI yang ditangkap akan melalui proses siasatan, dakwaan dan hukuman sebelum diusir ke negara asal.

“Berdasarkan Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63 kuasa untuk menjalankan tangkapan adalah terhad kepada pegawai imigresen, polis dan kastam sahaja,” ujarnya.

Sejak Januari hingga 24 Disember lalu, JIM telah melaksanakan 17,328 operasi penguatkuasaan dan hasilnya seramai 50,175 PATI serta 1,251 majikan ditahan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas