Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Bazaria Genting Kelang bakal noktah kegusaran peniaga

- Diterbit 24 Mei 2024 10:10 AM MYT

PERSATUAN Peniaga Berlesen Bazaria Wangsa Maju menyambut baik inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan 500 peniaga berlesen Bazaria Wangsa Maju ke lokasi pembinaan tapak baharu di Bazaria Genting Kelang.

Sungguhpun begitu, persatuan tersebut berharap pihak DBKL dapat mendahulukan peniaga berlesen yang asal untuk ditempatkan di lokasi tapak niaga baharu di samping melakukan hebahan promosi secara besar-besaran.

Pengerusinya, Mohd Ramdzan Ziman berkata pihaknya tiada masalah dan bersetuju dengan pemindahan tersebut dan menganggap ia adalah sebahagian daripada langkah untuk mengatasi kegiatan peniaga rambo tidak berlesen di bazaria itu selain dapat mengurangkan masalah rungutan penduduk berhubung isu parkir yang berlarutan.

“Pada peringkat awal, mungkin sukar buat peniaga untuk mendapat keuntungan jualan kerana ramai pengunjung yang sudah biasa di tapak lama namun pemindahan baharu ini dilihat lebih selesa, luas dan teratur.

“Tidak dinafikan kebanyakan peniaga lebih selesa di tempat lama kerana rata-ratanya sudah berniaga di lokasi itu sejak belasan tahun dahulu selain lokasi baharu terletak di dalam bangunan.

“Jika benar dipindahkan, DBKL perlu bantu buat promosi habis-habisan kalau tidak ia akan suram dan mesti mendahulukan 500 peniaga berlesen,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, Mohd Ramdzan turut mengulas mengenai mogokan yang dilakukan oleh peniaga pada 13 Mei lalu di mana keluhan peniaga tersebut adalah dalam kalangan mereka yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Katanya, tapak niaga yang akan dirobohkan oleh DBKL itu adalah terhadap peniaga yang tidak berlesen namun timbul rasa tidak puas hati segelintir peniaga yang membantah tindakan penguatkuasaan.

“Semua sedia maklum, Bazaria Wangsa Maju merupakan salah satu uptown yang terkenal dan menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara.

“Disebabkan itu, maka banyak peniaga haram yang berani berniaga di tepi jalan sedangkan masih ada 500 peniaga lesen yang membayar sewa sebanyak RM216 setiap bulan kepada DBKL.

“Namun, saya difahamkan sudah tiga minggu peniaga tidak berlesen ini tidak menjalankan perniagaan kerana mereka telah diberikan notis serta takut akan diambil tindakan lagi oleh penguat kuasa.

“Justeru itu, saya harap DBKL akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap peniaga-peniaga tanpa lesen tersebut sekali gus mengurangkan kebimbangan peniaga berlesen,” jelasnya.

Sementara itu, dalam satu ciapan video di Facebook DBKL memaklumkan, perancangan memindahkan 500 peniaga berlesen berkenaan adalah untuk memastikan peniaga dapat menjalankan urus niaga dalam keadaan yang lebih selesa, teratur serta persekitaran yangKelang kondusif.

Menurutnya, suasana yang lebih vibrant dan kondusif dilihat mampu memberi pulangan hasil jualan yang lebih baik sekali gus meningkatkan taraf ekonomi peniaga berkenaan.

Walau bagaimanapun, DBKL akan melaksanakan bancian bagi memastikan peniaga yang berdaftar adalah sama yang menjalankan perniagaan di tapak transit dan dalam masa yang sama, ia bagi memastikan penjaja berdaftar mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

“Bazaria Wangsa Maju yang mula beroperasi sejak 2019 itu adalah tapak transit untuk peniaga Uptown Danau Kota sebelum dipindahkan ke tapak kekal di Bazaria Genting Kelang.

“Terdapat 165 tapak peniaga tanpa lesen di Bazaria itu dan kegiatan mereka telah menimbulkan beberapa polemik dalam kalangan peniaga berlesen serta penduduk.

“Antaranya menggajikan pekerja warga asing, menggunakan ruang parkir untuk mendirikan struktur gerai kekal serta penggunaan air dan elektrik di Bazaria secara tidak sah,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas