Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

KKR tumpu syarat 3K demi kesejahteraan rakyat

- Diterbit 24 Mei 2024 10:00 AM MYT

TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan terus memacu dan menggalas tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan cemerlang.

Aduan atau masalah yang diterima Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensinya menjadi pembakar semangat beliau dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

Berfikiran kritis, segala perancangan masa hadapan sudah diatur beliau dengan teliti untuk keselesaan rakyat. Dalam masa yang sama, beliau berusaha untuk memendekkan tempoh mana-mana projek pembinaan atau pembaikan di negara bagi kebaikan semua pihak.

Ikuti wawancara khas Wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor bersama Datuk Seri Ahmad Maslan.

Apakah antara rangka kejayaan atau dasar yang berjaya pihak datuk atau kementerian raih bersama?

Umum sedia maklum kalau libatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), mereka mungkin hanya fikir tentang isu-isu yang melibatkan jalan, namun, sebenarnya ia turut melibatkan sektor industri pembinaan, bangunan, perumahan, pembinaan pasar raya dan sebagainya.

Di pihak KKR juga kita menjaga kontraktor-kontraktor bagi mematuhi segala peraturan daripada segi kepantasan dalam menyiapkan sesuatu projek itu serta yang paling penting ialah keselamatan.

Baru-baru ini, saya menyempurnakan Penyerahan 12 Projek Siap yang dilaksanakan oleh agensi KKR iaitu Jabatan Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKR WPKL) dengan enam daripada 12 projek dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh penyiapan kontrak.

Secara umumnya, saya mahu menyumbang satu pendekatan yang lebih positif iaitu memastikan projek-projek dapat disiapkan lebih awal dengan menggunakan pendekatan termoden iaitu penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) supaya wang rakyat dapat dijimatkan, kecekapan komuniti pembinaan dapat dipertingkatkan dan yang paling penting kualiti pembinaan terhasil mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Apakah antara cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh perkhidmatan datuk?

Sudah tentunya banyak cabaran yang saya dan pasukan terpaksa harungi demi memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Walau bagaimanapun antara yang sukar ialah bagaimana pihak kami mengagihkan sebarang kontrak kepada kontraktor yang betul-betul layak secara adil dan telus, ia bagi mengelakkan sebarang projek yang tertangguh dan hilang begitu sahaja.

Selain itu, saya juga ingin melihat supaya pembinaan di negara kita untuk menepati syarat-syarat 3K iaitu (kos, kepantasan, kualiti).

Ia bukan satu perkara yang mudah namun saya percaya ia dapat dicapai dengan penelitian yang mendalam serta rangka kerja yang bagus.

Berapa banyak jumlah kontraktor yang terdapat dalam negara?

Jumlah kontraktor yang terdapat setakat ini, dianggarkan sekitar 130,000 bagi kontraktor G1 hingga G7.

Kini saya sedang berusaha bagi membantu bangunkan kontraktor-kontraktor kecil yang banyak di negara kita ini.

Masalah jalan berlubang atau tidak rata saban hari didengari, bagaimana pihak YB atau kementerian menyelesaikan perkara ini?

Kebanyakan jalan berlubang terkait dengan jumlah trafik yang tinggi di laluan tertentu.

Bagi negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, kegiatan ekonomi, aktiviti industri dan pembinaan yang rancak adalah antara penyebab atau penyumbang kepada masalah ini.

Justeru itu, usaha kita adalah memastikan bagi setiap jalan ini ditampal atau diperbaiki dalam masa yang singkat.

Sebagai contoh, bagi jalan persekutuan, kerja-kerja pembaikan jalan perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam.

Kalau dilihat juga sebenarnya di Malaysia terdapat 11 jalan di bawah seliaan yang berbeza, jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran, jalan kampung, jalan pertanian, jalan belakang rumah, jalan persendirian, jalan ladang, jalan balak, jalan pulau dan lebuh raya.

Jadi masalah jalan ini ada pihak-pihak juga yang akan menyelia bagi menjaga mutu jalan-jalan tersebut.

Apakah wujudnya skuad pemantauan dan cara mudah bagi melaporkan sebarang kerosakan jalan?

Ada skuad pemantauan di setiap jalan-jalan tersebut, seperti di jalan persekutuan terdapat syarikat konsesi yang ada prosedur operasi standard (SOP) untuk melawat setiap hari dan memantau keadaan jalan itu.

Jadi mereka tak perlu menerima keluhan rakyat baru nak ditampal sebab mereka bertanggungjawab atas jalan-jalan tersebut yang diamanahkan kepada mereka.

Selain itu, kami juga mempunyai aplikasi MyJalan yang telah diluncurkan sejak Ogos tahun lepas. Ia merupakan sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya atau perabot jalan dapat dibaik pulih tidak kira milik siapa jalan itu.

Melalui aplikasi ini juga semua jenis aduan jalan akan diterima walaupun yang bukan diselenggara KKR, selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalur penambahbaikan terutama ketika berlaku kecemasan.

Berapa banyak aduan yang diterima melalui aplikasi itu?

Sejak pelancarannya sebanyak 14,797 aduan berkaitan kerosakan jalan raya, lampu isyarat dan lampu jalan, papan tanda, perabot jalan, kemudahan awam dan sebagainya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,049 aduan (27.36 peratus) membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR.

Selebihnya iaitu 72.64 peratus atau 10,748 aduan adalah melibatkan jalan bandaran, jalan kampung, jalan pertanian dan lain-lain di mana aduan-aduan tersebut telah disalurkan kepada jabatan berkenaan.

Sebanyak 3,287 (81.18 peratus) telah diselesaikan oleh agensi KKR di mana 3,118 atau 94.86 peratus diselesaikan dalam tempoh satu hingga 30 hari manakala selebihnya sedang dalam proses tindakan.

Berapa banyak peruntukan yang diterima serta kos untuk membaiki jalan?

Secara keseluruhan KKR menerima sebanyak RM9.511 bilion peruntukan bagi tahun 2024 dibahagikan sebanyak RM949.37 juta bagi bajet mengurus serta RM8.561 bilion bagi bajet pembangunan.

KKR juga memperuntukkan sebanyak RM3.3 bilion dari tahun 2018 hingga 2023 bagi kerja-kerja penyelenggaraan turapan di jalan-jalan persekutuan di Malaysia yang melibatkan sepanjang 3,821.03 kilometer.

Sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 5,959 bilangan jalan berlubang dilaporkan di jalan-jalan persekutuan Semenanjung Malaysia dan keseluruhan jalan berlubang tersebut ditampal dalam tempoh 24 jam menjadikan pencapaian Program Aku Janji Sifar Lubang (Zero Potholes) adalah 100 peratus.

Apakah harapan datuk bersama KKR pada hadapan atau perkara-perkara yang ingin ditambah baik?

Di KKR, saya berharap pihak berkaitan mengkaji kaedah bagi memendekkan tempoh mana-mana projek pembinaan di negara ini, yang mengambil masa lama untuk disiapkan demi kepentingan rakyat.

Sebarang kelewatan akan menyebabkan kerugian kerana banyak masalah akan timbul seperti denda dan imej syarikat akan terjejas.

Saya suka menasihatkan agar kontraktor yang terlibat haruslah lebih bersedia dengan kemampuan teknologi, kemahiran pekerja dan sumber kewangan yang mencukupi.

Selain itu, antara perkara yang boleh ditambah baik ialah dengan inovasi. Inovasi akan mempercepatkan kerja, meningkatkan kualiti dan memberi kelebihan kepada rakyat untuk memperolehi produk dan boleh menjimatkan wang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas