Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Projek naik taraf KTB Kampung Bohol perlu disegerakan

ZALIHA (dua dari kiri) bersama Teressa Kok ketika sesi di tapak KTB Kampung Bohol
- Diterbit 24 Mei 2024 10:20 AM MYT

PROJEK menaik taraf dan mereka bentuk semula Kolam Takungan Banjir (KTB) Kampung Bohol perlu disegerakan bagi mengelakkan risiko masalah banjir di kawasan berkenaan berulang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pelaksanaan projek itu perlu diberi keutamaan berikutan kejadian banjir sebelum ini memberi impak besar kepada penduduk setempat.

“Pelan asal keluasan pembinaan KTB adalah 61.37 ekar bersamaan 24.548 hektar namun tapak itu akan diperluaskan lagi kepada 63.47 ekar bersamaan 25.3888 hektar mengikut pelan terbaru.

“Dengan menaik taraf KTB Kampung Bohol ini, ia akan meningkatkan kapasiti takungan air sebanyak 600 peratus daripada 150,000 meter padu air kepada 1.15 juta meter padu air berkedalaman enam meter,” kata beliau selepas melawat tapak projek itu pada Isnin.

Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat tertutup di Kompleks Komuniti Kampung Muhibbah bagi bertemu dan mendengar penjelasan daripada penduduk serta pihak berkaitan mengenai projek berkenaan.

Turut hadir pada lawatan tapak tersebut, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa kok dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Zaliha berkata setiap aspek berkaitan projek KTB itu sudah diperhalusi dan perancangan pembangunan akan dinilai semula selepas projek tersebut siap.

Katanya, pembinaan KTB perlu diutamakan sebelum mana-mana perancangan pembangunan dikemukakan dengan mengambil kira segala aspek termasuk kapasiti tanah itu sendiri dan pelaksanaan kajian Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) mahupun impak kepada sosial.

Mengulas lanjut, Zaliha memaklumkan projek menaik taraf ini dijangka akan mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan bagi menghadapi peralihan monsun timur laut.

Beliau juga turut menekankan tiada sebarang cadangan pembangunan akan dilaksana sehingga KTB Kampung Bohol menepati semua spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta dapat berfungsi dengan baik.

Sebelum ini, kejadian banjir kilat pernah berlaku di sekitar kawasan KTB pada Disember 2021 dan Mac 2022 sehingga menyebabkan air banjir melimpah ke kawasan sekitar termasuk di Lebuhraya Shah Alam (KESAS). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas