Berita

Bayaran insentif awal beri kelegaan buat penjawat awam – CUEPACS

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 Februari 2024 5:00 PM MYT

BAYARAN Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 yang diterima hari ini memberi kelegaan kepada penjawat awam terutamanya dalam membuat persiapan persekolahan dan Ramadan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, yang turut berterima kasih kepada kerajaan,berkata bagaimanapun, penjawat awam perlu berhemat dalam berbelanja dan mengutamakan keperluan.

“Jumlah tersebut jika kita lihat memberi sedikit kelegaan bagi perbelanjaan menyediakan kelengkapan persekolahan dan persiapan Ramadan.

“Berbelanjalah mengikut bentuk acuan masing-masing dan jangan dalam bentuk acuan yang tidak mampu kerana kita sendiri yang akan merana jika perbelanjaan tidak disusun dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut menyeru semua kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun untuk mengambil langkah sama memberikan bayaran insentif awal bagi menjaga kebajikan pekerja.

Adnan dalam pada itu memohon supaya kerajaan menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam yang pada masa ini dilihat tidak mampu menampung beban perbelanjaan susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara kini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Feb lepas dilapor berkata bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam, dibayar sekali gus pada 23 Feb.

Selain itu, RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Datuk Sharuddin Omar ketika dihubungi Bernama turut berterima kasih dengan bantuan yang disalurkan kerajaan.

“Bantuan ini secara tidak langsung meringankan beban pesara selain bekas tentera yang tidak berpencen. Bekas tentera ini kebiasaannya memerlukan kos rawatan (perubatan) yang tinggi, jadi memerlukan duit yang banyak.

“Bantuan seperti ini bagi saya dapat membantu meringankan kos rawatan mereka,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas