Artikel

Bayar tunggakan sewa

- Diterbit 24 November 2023 1:45 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini semakin agresif dalam tindakan memastikan penyewa kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) membayar tunggakan sewa yang lama tertunggak.

Yang terbaharu DBKL melaksanakan Operasi Kunci Air (OKA) di kediaman penyewa tertunggak sewa di PPR Muhibbah dan PPR Batu Muda. Sebelum itu operasi sama dijalankan di PPR Perkasa dan PPR Seri Alam pada awal September lalu.

Kawan-kawan Kedai Kopi bersetuju dengan tindakan DBKL ini kerana itu satu cara berkesan untuk mengingatkan penyewa yang ingkar membuat bayaran. Difahamkan ada yang sudah mempunyai terlalu banyak tunggakan.

Tindakan DBKL tidak harus dipandang sebagai menganiaya penyewa kerana pelbagai peringatan telah diberi. Notis peringatan dikeluarkan. Pertemuan terbuka juga diadakan bertujuan memberi peluang kepada penyewa menyusun semula pembayaran. Kaunter bergerak turut dibuka bagi memudahkan proses pembayaran.

Namun ramai tetap degil, tidak berterima kasih atas kelonggaran yang diberi. Apakah lagi yang harus dilakukan oleh DBKL selain bertindak drastik setelah segala kaedah peringatan, nasihat dan tolak ansur tidak diendahkan? Yang mahu kunci air dibuka perlu menjelaskan tunggakan terlebih dahulu.

Hakikat bahawa tindakan ini dilakukan di beberapa PPR menampakkan seolah-olah segelintir penyewa PPR sengaja liat tidak mahu membayar sewa. Ini memberi imej tidak baik kepada para penyewa lain yang setia membayar sewa menurut jadual.

Oleh itu kawan-kawan Kedai Kopi berharap tindakan yang diambil oleh DBKL dijadikan iktibar oleh para penyewa PPR lain di ibu negara agar menjelaskan sewa setiap bulan atau melangsaikan tunggakan jika ada.

Pihak DBKL bukan tidak bertimbang rasa bertindak terus tanpa rundingan atau tanpa memberi peluang kepada penyewa kurang mampu menyusun semula bayaran jumlah hutang. Yang penting tunjukkan kesungguhan dan komitmen mahu membayar. Lama-kelamaan akan habis juga. Selepas itu jangan biasa biarkan sewa tertunggak lagi.

Para penyewa PPR mesti sedar mereka bertuah kerana mendapat tempat di perumahan berkenaan sedangkan ramai lagi masih menunggu sehingga bertahun-tahun. Sudah dapat kemudahan belajarlah menghargai.

Jangan salahkan orang lain jika sampai DBKL mengarahkan mereka mengosongkan unit lantaran enggan membayar sewa atau membereskan tunggakan. Memang lebih baik sahaja unit berkenaan diberi kepada mereka yang telah lama menunggu giliran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas